Oleh Presiden UPKO/Ahli Parlimen Tuaran
Datuk Seri Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: Semoga semuanya dalam keadaan sihat walafiat. Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan syukur dan terima kasih kerana diberikan peluang dan sekali lagi dipilih oleh rakyat sebagai Ahli Parlimen P170 Tuaran.
Ini sebenarnya bukan kemenangan saya, tetapi satu kemenangan besar untuk rakyat yang mahukan perubahan dan kestabilan politik, kepimpinan dan sosioekonomi terutamanya dalam pemerintahan baharu di negara ini.
Dalam PRU15, sesungguhnya kita berdepan dengan cabaran getir dan serba serbi kekurangan tidak kira dalam kewangan, kelengkapan dan sebagainya, tetapi itu nyata tidak menghalang kebangkitan suara keramat rakyat Tuaran tercinta.
Saya dengan sepenuh ikhlas hati, memohon kemaafan sekiranya terdapat salah silap dan tutur bicara yang menyinggung perasaan mana-mana pihak selama ini termasuk sepanjang kempen PRU diadakan. Tanpa anda, siapalah saya.
Marilah kita bersama-sama terus mengekalkan silaturahim dan berjuang bersama untuk mengangkat kegemilangan Tuaran di mata dunia. Saya berjanji berusaha sebaik mungkin memperjuangkan hak-hak rakyat dan berkhidmat sepenuh jiwa raga untuk Sabah khususnya kepada warga Tuaran tanpa mengira kaum dan agama.
Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapan terima kasih kepada jentera dan petugas Pakatan Harapan (PH) dari seluruh Tuaran yang merangkumi parti UPKO dan rakan-rakan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Amanah dan Muda Bahagian Tuaran.
Segala komitmen dan kerja keras anda amat saya hargai dan tidak akan lupakan sampai bila-bila. Terima kasih juga kepada semua persatuan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak putus-putus memberikan sokongan padu termasuk pihak-pihak yang telah memberikan bantuan dalam apa jua bentuk seperti wang ringgit, idea dan sumbangan lain dalam membantu PH sepanjang PRU15 ini.
Saya juga merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja keras untuk memastikan PRU15 berjalan dengan lancar dan sejahtera terutama kepada SPR dan pihak keselamatan.
Akhir sekali, saya merakamkan ucapan tahniah kepada semua pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab penting sebagai pengundi dalam PRU15 kali ini dengan memilih parti pilihan masing-masing.
Dan istimewa kepada para pengundi yang telah memilih saya yang bertanding atas tiket PH di P170 Tuaran, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana memberikan kepercayaan kepada saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tuaran sekali lagi.