SANDAKAN : Barisan Nasional (BN) – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan platform yang terbaik untuk membawa suara rakyat Sabah ke peringkat persekutuan.
Calon BN Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata BN – GRS sepakat bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atas dasar mahu sama-sama membela nasib rakyat dalam pelbagai sudut.
Katanya, kesepakatan itu mampu mengelak pertembungan politik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat sekaligus mencacatkan pembangunan negeri.
“Sabah masih kekurangan pembangunan khususnya di luar bandar dan pedalaman. Bekalan air dan elektrik, jalan raya, sekolah dan banyak lagi kemudahan yang diperlukan rakyat.
“Selain itu, Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah meneruskan perjuangan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk memastikan pembangunan Sabah tidak diabaikan,” katanya di Command Centre P184 Libaran, hari ini.
Sehubungan itu, Suhaimi mahu kerjasama dan perpaduan erat diantara BN dan GRS diperkukuhkan dari semasa ke semasa bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, hubungan yang kukuh bukan hanya menjadikan politik di Sabah lebih stabil, malah dapat memacu pembangunan negeri.
Beliau yakin sekiranya rakyat memberi mandat kepada BN – GRS dalam PRU-15, ia akan memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai bentuk program untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi dan kemakmuran negeri.
Dalam pada itu, Suhaimi terharu dengan sokongan yang diberikan oleh GRS Libaran dan parti kompenan BN yang turun padang membantu kempen bagi memenangi kerusi Libaran.