KIULU: Susulan angin perubahan yang bertiup kencang di seluruh negara, kempen Pakatan Harapan (PH) di kawasan Parlimen Tuaran turut mendapat sambutan memberangsangkan.
Menurut calon PH Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu, UPKO turut menerima kehadiran ahli-ahli dari parti lain.
“Terutama sekali apabila wujud kecelaruan terhadap isu-isu berbangkit di pihak lawan.
“Dari parti-parti lain pun sudah banyak bertemu dengan kita, mudah-mudahan momentum ini akan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program “walkabout” di Tamu Pekan Kiulu, di sini, hari ini.
Tinjauan media mendapati rata-rata pengunjung dan penggerai di tamu itu gembira dengan kehadiran Madius dengan merakamkan gambar kenangan termasuk mengambil gambar swafoto.
Untuk rekod, seramai 70 borang keahlian baharu turut diserahkan oleh mantan ahli pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Azliee Mengah di PDM Sungai Damit, semalam.
Walau bagaimana pun, Madius tidak mahu mengambil mudah terhadap cabaran yang dihadapi pada PRU kali ini.
“Kita tahu Parlimen Tuaran merupakan kawasan bagi Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Sabah.
“Menteri Luar Bandar juga ada di sini, selain dua pembantu menteri dalam kerajaan negeri Sabah.
“Justeru, PH sebenarnya adalah calon “underdog”, namun kita akan berusaha untuk memastikan aspirasi rakyat untuk memerangi pelbagai krisis yang melanda negara terutamanya krisis kepimpinan dan salah guna kuasa dibanteras habis-habisan,” jelasnya.
PH telah memuktamadkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 sekiranya PH menang dan memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-15.