Benedict, Andi Muhammad calon BN untuk Parlimen Beluran dan Kalabakan

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah telah memutuskan kawasan Parlimen Beluran dan Kalabakan masing-masing akan ditandingi oleh Benedict Asmat dan Andi Muhammad Suryady Bandy.

Advertisements

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, dalam satu kenyataan, berkata BN Sabah memutuskan untuk menamakan calon baharu bagi kerusi Parlimen Kalabakan disebabkan masalah teknikal.

Calon Parlimen Beluran pula tidak diumumkan semasa majlis pengumuman calon-calon BN Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sini pada Rabu.

Benedict Asmat merupakan anak jati Parlimen Beluran dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Antropologi dan Sosiologi (Kepujian) daripada Universiti Malaya (UM).

Beliau juga merupakan mantan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Beluran selama 20 tahun sebelum dilantik menjawat beberapa jawatan penting kerajaan.

Andi Muhammad Suryady pula merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Tanjung Batu dan dilantik sebagai Pembantu Menteri Belia dan Sukan dalam Kabinet Negeri Sabah pada Oktober 2020.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beliau pernah bertugas sebagai Jurutera di beberapa syarikat kejuruteraan terkemuka negara sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan dan pernah dilantik sebagai Bendahari Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia Sabah.

“Barisan Nasional Sabah yakin kedua-dua calon yang berlatarkan pendidikan tinggi, berkelayakan profesional serta bersedia berkhidmat mampu menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak,” kata Bung.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles