Kelab YOSH UMS anjur ‘Youth Leadership Summit’, pupuk kepimpinan pelajar baharu UMS

 
 
KOTA KINABALU – Kelab YOSH Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan program kepimpinan Youth Leadership Summit selama dua hari bertempat di Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.
 
Program yang bertujuan memupuk jati diri dan mengasah kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar baharu UMS itu telah disertai oleh 30 peserta yang terdiri dari pelbagai latar belakang program pengajian di UMS.
 
Menurut Pengarah Program, Farah Hasanah Abdul Jaid, terdapat tiga fokus utama di bawah Kelab YOSH UMS iaitu Bahagian Kesukarelawanan, Keusahawanan dan Pendidikan telah diterangkan kepada para peserta.
 
“Para peserta telah diberikan peluang untuk memilih antara tiga bidang fokus tersebut mengikut minat masing-masing.
 
“Menariknya, dalam program ini, para peserta telah dilatih untuk memimpin perbincangan serta melontarkan idea dalam kumpulan bagi merancang program di bawah bidang minat masing-masing yang mereka akan laksanakan sepanjang tahun ini,” katanya.
 
Farah yang juga merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Data UMS turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua mentor YOSH yang telah membimbing beliau mengetuai program tersebut.
 
Antara pengisian program yang diadakan termasuklah menyantuni golongan asnaf dan belajar mengaji bersama kana-kanak melalui aktiviti ‘Jom Masuk Kampung’.
 
Selain itu, para peserta program turut berpeluang memainkan peranan sebagai fasilitator dalam aktiviti STEM Tour at UMS bagi menerangkan fungsi setiap checkpoint yang terdapat di U-Science UMS kepada para pelawat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Likas, Kota Kinabalu.
 
Menurut Muhammad Mahathir Malik, 19, yang juga merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Geologi UMS, penganjuran program ini merupakan program kepimpinan yang dapat mengasah keyakinan diri beliau.
 
“Ini program kepimpinan pertama yang saya ikuti sejak belajar di UMS. Saya sangat gembira dan berpuas hati kerana program ini dapat membuatkan saya lebih berani dan berkeyakinan untuk bercakap di hadapan rakan-rakan yang lain.”
 
Mahathir yang juga merupakan peserta terbaik sepanjang program berlangsung berhasrat untuk mengajak lebih ramai lagi rakan-rakan yang lain untuk menyertai program ini pada masa akan datang.
 
Majlis Perasmian Penutupan program dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS merangkap Penasihat Tertinggi Kelab YOSH UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam bin Hj. Sarbatly.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles