KOTA MARUDU: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Marudu Pillexson James berkata, adalah lebih baik UPKO diberikan peranan sepenuhnya untuk mewakili suara masyarakat KDMR di kawasan Parlimen Kota Marudu.
“Ini kerana UPKO lebih dominan memperjuangkan suara dan hak masyarakat KDMR yang mana antara lain UPKO berjaya menjadikan bahasa Kadazan Dusun sebagai kurikulum di sekolah-sekolah kerajaan d negeri ini, penubuhan Dewan Perniagaan dan perindustrian Kadazan dusun (KCCI), penubuhan institusi kemajuan anak negeri sabah (INDEP) dan sebagainya,” katanya.
Pillexson berkata, berdasarkan keputusan PRU14 parti tempatan lebih banyak memenangi kerusi pada pilihan raya itu dan ini menunjukkan trend pengundi KDMR yang mahukan parti tempatan.
“Oleh itu adalah lebih bijak meletakkan calon PH daripada parti UPKO di Parlimen Kota Marudu kerana faktor dan kelebihan “home advantage” untuk bersaing dengan parti tempatan lain.
“UPKO Kota Marudu melalui sayap Pergerakan Pemuda dan Generasi Muda telah mendekati dan membentuk pengundi Muda UPKO sejak 2018. Ini satu kelebihan bagi UPKO untuk meraih undi daripada pengundi baru yang berumur 18 tahun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cawangan UPKO Kampung Salimandut James Jibi turut menyokong supaya calon daripada UPKO dipertandingkan di Parlimen Kota Marudu.
“Hanya calon daripada parti UPKO yang berpotensi untuk memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu. Penyokong akar umbi UPKO mengharapkan agar calon bagi kawasan ini diberikan kepada UPKO bagi mewakili PH,” katanya.
James mewakili ketua-ketua cawangan yang lain berkata, seandainya agihan kouta tidak berpihak kepada UPKO, berasaskan kepada isu dan sentimen parti tempatan, PH bakal berhadapan kesukaran menawan kerusi Parlimen Kota Marudu.
Beliau amat berharap agar pengagihan kerusi tidak mengecewakan ahli-ahli akar umbi dan juga pengundi bagi kawasan Parlimen Kota Marudu.
Menurut James, pemimpin-pemimpin daripada ahli komponen PH Kota Marudu juga telah menyatakan sokongan padu kepada calon UPKO dan yakin keputusan dalam perundingan tersebut tidak sia-sia.