UMS komited bantu kerajaan perkasa bidang STEM di Sabah

 
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa komited membantu dan menyokong aspirasi oo khususnya dalam memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri ini.
 
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, usaha pemerkasaan itu dijayakan melalui pembelajaran bersepadu yang mengaplikasikan konteks dunia sebenar menggunakan pendekatan secara praktikal (hands-on) dan penerokaan terbuka.
 
“Dewasa ini, negara menghadapi dilema apabila peratus pelajar dalam aliran berkaitan STEM adalah lebih rendah dan ia menimbulkan kerisauan banyak pihak.
 
“Dengan adanya inisiatif penganjuran Karnival Sains, Minggu Sains Negara dan World Space Week di peringkat UMS, ia membantu memupuk minat pelajar dalam bidang-bidang yang berkaitan di samping memberi pendedahan awal ke arah penciptaan dan inovasi,” katanya.
 
Raman yang juga selaku menjalankan Fungsi Naib Canselor UMS berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Sains Sabah dan Minggu Sains Negara peringkat UMS, di sini, hari ini.
 
Menurutnya, pelbagai program berkaitan STEM juga telah, sedang dan akan diadakan UMS.
 
“Antaranya, penyertaan UMS dalam Program Jelajah Pantai Timur dan Barat Sabah, Karnival STEM Asasi UMS, STEM4U@UMS, Program 3S (Webinar), Science and Arts Camp, Bengkel AstroRover, Phyton, 3D Printing, dan Audiono.
 
“Pada hari ini, kita turut mengadakan Program Bicara Kanta U-Science bersama profesor perintis dalam bidang sains dan teknologi di Malaysia iaitu individu yang bertanggungjawab menubuhkan Planetarium Negara, Prof. Emerita Tan Sri Dr. Mazlan Othman.
 
“Kita harapkan suatu hari nanti, kita mampu melahirkan saintis muda yang kritis seperti Al-Jazari yang digelar Bapa Robotik,” kata Raman.
 
Majlis pelancaran program tersebut disempurnakan Timbalan Setiausaha Tetap 1 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Maria Chong mewakili Menteri KSTI, Datuk Yakub Khan.
Hadir sama, Profesor Emerita Tan Sri Dato’ Sri Dr. Mazlan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Prof. Madya Dr Ramzah Dambul, Ketua Pustakawan UMS, Mohd Sazali Mohd Salleh, serta Pengerusi Penganjur bersama iaitu Ketua U-Science UMS, Haji Zawawi Datuk Haji Tiyunin dan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles