KOTA BELUD: Bermula dari sebuah kedai kopi biasa, R&R Kota Belud telah mengorak langkah dan kini merupakan satu–satunya pusat rehat dan rawat yang semakin popular di bahagian pantai barat utara Sabah.
R&R KB yang terletak di kampung Wakaf, By Pass Kota Belud itu menyediakan pelbagai fasiliti termasuk restoran, bilik mesyuarat dan penginapan.
Bagi pengunjung yang merancang untuk mencari tempat penginapan untuk percutian di Kota Belud dan sekitarnya, R&R KB sesuai jadi pilihan kerana terdapat sekitar 20 bilik boleh disewa dengan kadar berpatutan.
Bagi meraikan kejayaan R&R KB sejak mula beroperasi, pihaknya telah mengadakan majlis makan malam Kelab Sahabat dan Artis-Artis R &R Kota Belud sempena ulang tahun R&R Kota Belud ke-8.
Berucap pada majlis itu, pengurus R&R Kota Belud Ammyliah bte Abd Aziz berkata kejayaan syarikat itu adalah hasil kerjasama dan komitmen erat daripada semua yang terlibat termasuk anggota keluarga, kawan-kawan atau penduduk KB dan pengunjung.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ADUN Usukan yang juga mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang banyak memberi sokongan dan membantu merealisasikan pewujudan R&R itu.
“Tidak dinafikan Adun Usukan sebelum ini telah banyak menyumbang kepada kemajuan bukan sahaja kepada R&R KB tetapi juga daripada pembangunan keseluruhan di kawasan Kota Belud.
“Tni termasuk kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, sekolah, hospital dan peluang perniagaan,” katanya.
Menurutnya, Salleh merupakan tokoh yang memainkan peranan penting menyediakan kemudahan internet 4G bagi keseluruhan penduduk daerah Kota Belud.
“Terima Kasih Datuk seri kerana merealisasikan impian ribuan rakyat Kota Belud menikmati kemudahan capaian internet 4G, Inshallah kita rakyat di Kota Belud ini akan menzahirkan sokongan padu agar daerah ini kembali ke era kecemerlangan seperti dulu,” katanya.