TENOM: Industri lanskap dan bunga-bungaan berpotensi dibangunkan di Sabah kerana negeri ini mengimport sebanyak 156.93 tan bunga segar dengan nilai RM4.9 juta, setakat tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pembangunan industri itu bukan saja mampu mengurangkan jumlah import pada masa hadapan malah membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.
“Ini menunjukkan terdapat potensi untuk pembangunan industri lanskap dan bunga- bungaan tempatan atau florikultur di negeri ini sekali gus berupaya mengurangkan import bunga segar pada masa hadapan.
“Pesta Bunga ini tentunya menjadi platform kepada para pengusaha bunga-bungaan dan lanskap untuk berkongsi maklumat dan pengalaman serta mengadakan ‘business matching ’bagi membangunkan industri florikultur di negeri ini.
“Saya juga berharap Pesta Bunga ini akan dapat memupuk budaya dan rasa cinta kepada keindahan flora serta amalan aktiviti lanskap yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Pesta Bunga 2022 di Taman Pertanian Sabah di sini, pada Ahad.
Ketua Menteri berkata, sambutan Pesta Bunga di Taman Pertanian Sabah ini juga juga amat signifikan dan ia dapat menarik perhatian lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke pedalaman Sabah, khususnya di daerah Tenom..
“Oleh itu, pesta ini perlu diadakan setiap tahun dan saya mahu masyarakat kita akan terus menghargai dan menghayati kepentingan pemuliharaan spesies tumbuhan sebagai sumber makanan dan penyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.
Katanya, Taman Pertanian Sabah sebagai Pusat Penyimpanan Khazanah Biodiversiti yang unik mempunyai lebih 1,500 spesies tumbuhan antaranya adalah orkid dengan sebanyak 350 spesies, halia hutan lebih 100 spesies dan buah-buahan dari dalam serta luar negara lebih 100 spesies di taman ini.
“Dengan adanya taman ini, tanaman makanan yang unik dan hanya terdapat di Sabah juga dapat dipulihara agar tidak pupus begitu sahaja. Ini juga akan menjadi satu tarikan kepada pelancong untuk datang ke taman ini,” katanya sambil menambah Taman Pertanian Sabah adalah produk pelancongan berasaskan pertanian yang unggul di negeri ini.
Sejak dibuka kepada orang awam pada 1 Oktober 2000, seramai 471,299 pelawat dari dalam dan luar negara telah melawat Taman ini atau purata 24,000 orang setahun sebelum pandemik COVID-19.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata pembangunan tanaman makanan juga diberi penekanan penting berikutan fenomena kenaikan harga input pertanian dan gangguan rantaian nilai akibat pandemik COVID-19, yang telah memberi kesan terhadap jaminan makanan yang agak membimbangkan di seluruh dunia.
“Walaupun keperluan bagi ayam, telur, susu segar, ikan dan pelbagai tanaman makanan lain adalah mencukupi, namun kita masih kekurangan bekalan beras. Tahap Kecukupan Beras (SSL) setakat tahun 2020 hanya 22.8 peratus.
“Kerajaan telah dan akan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan tahap SSL beras negeri. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah membangunkan tanah seluas 11,000 hektar di Semenanjung Dent FELDA Sahabat Lahad Datu untuk tanaman padi.
“Sebagai langkah awal Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah melalui Jabatan Pertanian akan melaksanakan plot demonstrasi tanaman padi di kawasan berkenaan. Jabatan Pertanian Sabah juga giat melaksanakan program penyelidikan dan inovasi ke atas buah-buahan di negeri ini.
“Satu varieti buah Avocado QAV3 dan buah Tarap QTRT telah dilancarkan semasa Hari Terbuka Pusat Penyelidikan Pertanian Quoin Hill Tawau pada 20 Ogos lalu. Saya berharap lebih banyak varieti baharu dan teknologi pertanian dapat dihasilkan oleh Jabatan Pertanian Sabah selepas ini,” katanya.
Bagi memacu pembangunan tanaman makanan di negeri ini, beliau berkata beberapa usaha sama dengan pihak swasta turut diadakan termasuklah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Syarikat LINACO Sdn Bhd untuk pembangunan tanaman kelapa dan pembinaan kilang memproses produk berasaskan kelapa, pada Mac tahun lalu
“Pada 21 Ogos lalu, satu lagi Notes of Understanding (NoU) telah dimeterai di antara Jabatan Pertanian Sabah dengan Ladang Kelapa PJ Nagus Malaysian Kuwaiti Investment Co Sdn. Bhd. (MKIC), sebuah syarikat usaha sama di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.
“Projek ini melibatkan usaha sama berkaitan pengesahan ketulenan bahan tanaman kelapa dan khidmat nasihat teknikal dan teknologi tanaman kelapa,”katanya.
Industri lanskap, bunga-bungaan berpotensi dibangunkan di Sabah
Advertisements