KOTA KINABALU: Seramai 24 pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai PETRONAS BeDigital Bootcamp 2.0 yang berlangsung selama 12 hari di sini, baru-baru ini.
Dekan Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ismail Saad berkata, program itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan tahap celik digital graduan tempatan bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan semasa dan masa hadapan.
“Program itu juga bertujuan untuk menyokong pembangunan modal insan ke arah mencapai aspirasi ekonomi digital negara.
“Ia merupakan kali kedua PETRONAS bekerjasama dengan UMS dalam program ini yang mana edisi pertama bagi BeDigital Bootcamp telah pun diadakan pada Mac lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ismail berkata, Bootcamp kali ini turut disertai pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah dan Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF).
“Para peserta juga sangat beruntung kerana mereka yang menunjukkan kecemerlangan sepanjang program ini berpeluang ditawarkan pekerjaan secara terus dengan PETRONAS dan beberapa syarikat lain.
“Untuk itu saya ucapkan tahniah kepada 16 pelajar UMS yang terpilih dan ditawarkan untuk bekerja di PETRONAS dan Tata Consultancy Services.
“Sebelum ini, 10 pelajar tahun akhir UMS juga telah mendapat tawaran yang sama setelah menyertai Bootcamp 1.0,” jelas Ismail.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas ruang kerjasama yang diberikan kepada UMS.
“Sesungguhnya, pihak UMS beterima kasih dan sentiasa mengalu-alukan kerjasama seumpama ini pada masa akan datang.
“Kerjasama strategik sebegini bukan sahaja mampu melahirkan modal insan yang berdaya saing malah mampu memenuhi keperluan tenaga mahir negara dalam mendepani era permodenan globalisasi,” tambahnya.
Majlis Penutupan yang berlangsung pada Jumaat lalu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof. Dr. Rasid Mail dan Ketua Pegawai Digital PETRONAS, Aadrin Azly.