KOTA BELUD: Warga pendidik diseru menguasai teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), khususnya kemahiran yang berkaitan e-pembelajaran bagi memudahkan mereka menyampaikan ilmu kepada pelajar.
Ketika membuat gesaan itu, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata
ini kerana sistem pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas berubah ke arah mengaplikasikan segala kemudahan e-pembelajaran.
“Dengan hanya sebuah Handphone atau Telefon Pintar ‘Smart Phone’ Pengajaran dan Pembelajaran boleh dilakukan.
“Tidak lagi bersifat konvensional. Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh warga pendidik. Mengajar dan mendidik anak-anak dengan mengaplikasikan teknologi pendidikan digital,” katanya.
Salleh yang juga Adun Usukan berkata demikian
ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Tah Nia Binti Jaman.
Salleh turut menyeru warga pendidik supaya melengkapkan diri dengan kemahiran menggunakan Google Classroom untuk tujuan Pembelajaran dan Pengajaran.
“Warga pendidik juga perlu mampu menggunakan aplikasi Google Meet, Zoom, Webex, Facebook, Whatsapp, Telegram, Youtube, Live Streming dan banyak lagi. Terbaru ialah penggunaan belajar melalui aplikasi Tik Tok.
“Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh warga pendidik. Saya yakin guru-guru dan warga pendidik mampu menangani cabaran ini. Pengalaman ketika melaksanakan PDPR semasa era Pandemik Covid-19 pada 2 tahun sebelum ini telah banyak memberi pengalaman dan pengajaran kepada kita semua,” katanya.
Menurut Salleh E-pembelajaran yang juga dikenali sebagai pembelajaran maya telah bermula sejak 1999 tetapi lambat berkembang di Malaysia atas beberapa faktor termasuk masalah talian yang tersangkut-sangkut dan kawasan yang tiada capaian internet.
“Sebab itu, semasa saya menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia dahulu, antara keutamaan saya ialah memastikan keseluruhan daerah Kota Belud menikmati jaringan perkhidmatan 4G kerana pada ketika itu capaian internet 3G hanya boleh diakses di kawasan sekitar pekan Kota Belud,” katanya.
Sebagai pemimpin di daerah itu, beliau akan sentiasa memastikan bahawa pendidikan di daerah Kota Belud akan sentiasa maju ke hadapan.
“Saya juga akan menyokong segala usaha-usaha dan program-program yang menjurus ke arah peningkatan dan kecemerlangan pendidikan di daerah Kota Belud,” katanya.
Salleh turut menekankan pentingnya hubungan baik dan kerjasama antara warga pendidik dan ibu bapa serta komuniti bagi menjayakan misi dan visi kecemerlangan pendidikan di daerah itu.