Kembalikan era kegemilangan, Pengundi Kota Belud perlu pilih wakil rakyat berwawasan dalam PRU15

KOTA BELUD: “Saya nak lihat Kota Belud ini kembali meriah dan pesat membangun macam dulu,” ujar anak jati daerah itu, Darlene Catrina Marcus.

Advertisements

Berusia 30an,  dia menceritakan hebatnya Kota Belud berkembang maju dulu, misalnya daripada segi kemudahan telekomunikasi.

“Dulu kemudahan internet hanya boleh diakses di kawasan sekitar pekan Kota Belud…itupun hanya isyarat 3G yang tertera.

“Kini hampir semua kawasan Kota Belud menikmati kemudahan 4G. Sebagai anak jati Kota Belud, saya amat berterima kasih dapat menikmati kemudahan internet 4G ini. Inilah antara nikmat pembangunan yang kita perolehi menerusi wakil rakyat yang berjiwa rakyat,” katanya.

Menurut Darlene Catrina  banyak lagi pembangunan yang telah dilaksanakan di Kota Belud terutama era sebelum tahun 2018.

“Saya lihat  pelbagai kemudahan infrastruktur telah disediakan termasuk lebuh raya Tuaran-Kota Belud, pembinaan beberapa sekolah baharu, bangunan kedai, kompleks sukan dan banyak lagi yang lain.

“Namun rentak pembangunan Persekutuan di daerah ini semakin “slow” selepas tahun 2018. Tentu sekali kita mahu wakil rakyat yang lantang di Parlimen, tetapi pada masa yang sama kita perlu wakil rakyat yang boleh membawa pembangunan kepada rakyat.

“Rakyat dahagakan pembangunan. Jangan jadi seperti tin kosong, riuh satu kampung tidak ada isi pun,”  katanya.

Gambaran itu merupakan refleksi kemahuan penduduk Kota Belud yang ingin melihat kawasan itu kembali ke era kegemilangan.

Menurut Arja Nuratika bte Ibrahim,  kepentingan capaian internet 4G sangat menonjol dalam menjayakan sesi  pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), khususnya semasa era pandemik Covid-19 selama dua tahun bermula awal tahun 2020.

“Bayangkan betapa susahnya guru-guru bersama para pelajar melaksanakan PdPR sekiranya kemudahan internet hanya dicapai di kawasan pekan Kota Belud.

“Mujurlah Kota Belud dulu diwakili seorang tokoh berpandangan jauh yang amat prihatin dengan keperluan rakyat…kita harap dengan kembali era kegemilanan ini, Kota Belud akan bertambah maju,” kata Arja Nuratika.

Menurut Darlene dan Arja Nuratika antara tokoh yang banyak membawa perubahan daripada segi pembangunan khususnya dalam bidang telekomunikasi, infrastruktur dan kemudahan sekolah di kawasan Parlimen Kota Belud
ialah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Kota Belud yang terletak berhampiran kaki Gunung Kinabalu kini diwakili oleh tokoh wanita daripada Parti Warisan Sabah Isnaraissah Munirah binti Majilis di Dewan Rakyat sejak tahun 2018.

Pemerhati politik meramalkan saingan bagi merebut kerusi Parlimen Kota Belud pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan membabitkan beberapa penjuru termasuk Warisan, BN, Bersatu dan parti-parti kecil yang lain.

Antara yang disebut-sebut yang bakal mencabar Munirah ialah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mewakili BN dan Datuk Japlin Akim daripada Bersatu.


Turut disebut-sebut ialah Fadli bin Hj Juanas (BN) dan Dr. Saiman Sandah mewakili STAR.

Setakat ini, belum ada indikasi awal yang jelas menunjukkan parti lain termasuk PH, PBS dan PCS berminat untuk meletakkan calon di kawasan pengundi campuran itu.

Mengikut sumber, PH dikatakan mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan peluang Munirah untuk mempertahankan kerusi parlimen itu tidak terjejas.

Pemerhati politik meramalkan jika berlaku pertembungan tiga, empat atau lebih penjuru, kelebihan sedikit mungkin berpihak kepada BN yang mempunyai jentera pilihan raya yang mantap dan tersusun seperti yang terserlah menerusi pertandingan lebih dari tiga penjuru di PRN Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, para pemerhati politik akar umbi berpendapat isu-isu semasa yang hangat dibincang dan diperdebatkan di media sosial boleh mempengaruhi pola sokongan rakyat terhadap parti-parti politik yang bertanding.

“Dalam arena politik, adakala kita menang dan adakala kita kalah. Saya cukup yakin rakyat Kota Belud bijak memilih yang mana kaca dan yang mana permata.

“Saya lihat dalam PRU15, rata-rata mood pengundi di sini  cenderung mahu melihat Kota Belud kembali ke era kecemerlangan.   Pendek kata persaingan di parlimen Kota Belud ini cukup menarik,” kata pengundi Steven Waldren.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles