PUTRAJAYA – Majlis Pelancaran Pavilion AgroTech MAHA 2022 telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam satu majlis di Lobi MAFI Wisma Tani, Putrajaya hari ini.
Sebanyak lapan pempamer akan menyertai pameran AgroTech Malaysia Agriculture,
Horticulture and Agrotourism (MAHA) 2022 yang akan diadakan pada 4 hingga 14 Ogos ini bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.
Antara pempamer tersebut terdiri daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Agrobank, Bioeconomy Corporation, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Aerodyne Group dan SAT.ASIA.
Pameran pavilion AgroTech MAHA 2022 yang berkeluasan 3,240 kaki persegi di Dewan D2, MAEPS, Selangor akan mempamerkan teknologi pertanian terkini yang bertemakan revolusi industri 4.0 (IR4.0) seperti Internet of Things (IoT), sistem pengurusan ladang pintar (smart
farming), kilang tanaman (plat factory), dron pertanian, teknologi robotik, pengurusan data pertanian, sistem maklumat geografi (GIS) dan bioteknologi.
Pada masa yang sama, AgroTech MAHA 2022 telah direncanakan dengan program lain seperti pocket talk, robotic demonstration dan perkongsian ilmu daripada pempamer.
Pengisian sepanjang tempoh pameran AgroTech MAHA 2022 ini diharapkan dapat memberi pendedahan
kepada pengunjung mengenai teknologi pertanian terkini.
Bertemakan “Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan” atau “Food Security for the Future”, MAHA 2022 yang diadakan secara dwi-tahunan ini walaupun secara khusus adalah mengenai pertanian, hortikultur dan agro-pelancongan, ianya telah berkembang sehingga menjadi
sebahagian dari landskap negara yang mempamerkan kemajuan serta pencapaian Malaysia.