Oleh: Jaafar Abdul Wahid
KINABATANGAN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mengambil peluang cuti sempena sambutan Hari Raya Aidilhadha untuk melawat mangsa kebakaran rumah di kampung Paris 3 Kinabatangan pada Isnin.
Kebakaran yang berlaku minggu lepas sekitar jam 2.00 petang itu memusnahkan empat rumah berjiran iaitu Rumah Sitiawah Abdullah, Usman Dalle,Abdullay Jabbare dan Risnawati Sharif yang menyaksikan kesemua harta benda mangsa gagal diselamatkan.
Bagaimanapun, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.
Dua kereta Bomba dikejarkan ke tempat kejadian, masing-masing sebuah dari Lahad Datu dan sebuah lagi dari Kinabatangan selepas menerima panggilan kecemasan.
Apabila pihak Bomba sampai ke tempat kejadian hampir keseluruhan struktur rumah yang berdekatan itu musnah.
Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ketua Umno bahagian Kinabatangan bersama Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga ADUN Sukau Datuk Jafry Arifin serta pemimpin masyarakat tempatan bergegas ke lokasi kejadian bagi meninjau dan melihat sendiri keadaan yang menimpa mangsa-mangsa yang terlibat.
Selain menzahirkan simpati kepada kesemua mangsa terbabit, Bung turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mereka terlibat dalam kebakaran tersebut.
“Saya bersimpati dengan musibah yang melanda mereka moga mereka redha dan bersabar menerima ujian ini,sebagai Ahli Parlimen di sini saya akan pastikan mereka akan mendapat tempat berlindung dan membina rumah mereka semula,” jelas Bung.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.