Oleh Ranggina Mariam (Pelajar Program Komunikasi UMS)
KOTA KINABALU: Malaysia Techlympics menghidupkan semangat budaya saing dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya dalam kalangan belia melalui pertunjukan dron.
Menurut Mohd Adam, 26, program di bawah anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini meletakkan sasaran kepada golongan anak muda untuk menyemarakkan semangat STEM.
“Kami sudah jelajah seluruh Malaysia untuk menambah pengetahuan dan meningkatkan semangat STEM kepada rakyat Malaysia.
”Tujuan Techlympics adalah untuk memupuk nilai STEM, khususnya kanak-kanak hingga belia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pertunjukan dron sempena Program Stem4U@UMS The Next Step anjuran U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini baru-baru ini.
Ia dianjurkan sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-23 yang berlangsung pada 25-27 Jun 2022.
Dalam pada itu, pelbagai program menjadi pengisian Program Stem4U@UMS yang berlangsung selama tiga hari di perpustakaan UMS.
Selain pertunjukan dron, turut diadakan pertunjukan lain seperti Planet Virtual Reality (VR), dunia ATOM dan pelbagai lagi.
Program tersebut turut disemarakkan dengan kehadiran murid-murid sekolah rendah sekitar Sabah.