OKU lembam tidak halang Habib Akmal genggam segulung ijazah

Oleh: Baby Nur Izzah Syahirah (Pelajar Komunikasi UMS)

Advertisements

KOTA KINABALU: Walaupun merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) Lembam (Slow Learner), ia tidak menghalang Habib Akmal Rifaie Habib Abduraman, 28, untuk menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Penerima Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Multimedia) Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS itu merupakan antara 4,319 graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23 yang berlangsung pada 25-27 Jun 2022.

Menurutnya, beliau disahkan mengalami masalah pembelajaran sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

“Ketika berada di UMS, kekurangan ini menjadi satu cabaran besar kerana sukar dan perlu mengambil masa yang lama untuk memahami apa yang diajarkan oleh pensyarah.

“Saya juga mempunyai sedikit kesukaran dalam berkomunikasi dengan orang ramai termasuk dengan pelajar-pelajar dalam kampus,” katanya ketika dihubungi media.

Namun katanya, berbekalkan tekad dan iltizam, beliau mengulang kaji dan mempelajari semua subjek yang diajar dengan penuh tekun sehingga benar-benar faham dan menguasainya.

“Dorongan dan motivasi daripada kedua ibu bapa merupakan pembakar semangat untuk tidak berundur dan terus menggandakan usaha mengatasi kekurangan diri sehinggalah berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2021.

“Justeru pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan membimbing saya khususnya kepada kedua ibu bapa tercinta.

“Tidak lupa kepada para pensyarah, warga UMS yang prihatin serta semua rakan-rakan yang sentiasa berada pada ketika susah dan senang,” ujar Habib Akmal yang berasal dari Putatan Sabah.

Untuk rekod, Majlis Konvokesyen UMS ke-23 bertujuan meraikan graduan yang tamat pengajian pada tahun 2021 setelah tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles