Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah 2022 yang dijadualkan berlangsung di International Technology & Commercial Centre (ITCC) Penampang, Sabtu ini bakal menjadi medan memperkukuhkan solidariti parti itu khususnya di Sabah
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata konvensyen yang dijangka dihadiri sekitar 5000 peserta dari seluruh Sabah itu juga akan menjadi saksi betapa kukuhnya kesepakatan sebuah gabungan parti yang turut memberikan sumbangan terbesar kepada pembentukan kerajaan Sabah selepas Pilihanraya Negeri 2020.
Menurut beliau konvensyen itu berkemungkinan menjadi pertemuan terakhir ahli-ahli parti berkenaan sebelum bertarung dalam pilihan raya umum yang disifatkan paling sengit dalam sejarah PRU Malaysia .
“Justeru, ahli-ahli BN khususnya peserta yang hadir ke konvensyen ini perlu memanfaatkan pertemuan ini bagi membincangkan isu-isu yang relevan untuk memperkasakan perjuangan parti ,melihat secara jujur segala rencana dan pelan BN, dalam mengatur persedian menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu perutusan yang dikeluarkan di sini sempana Konvensyen BN Sabah 2022.
Menurut Bung yang juga Ketua Umno Sabah, BN merupakan satu gabungan politik yang memerlukan saf kepimpinan dan jentera semua parti komponen yang bersatu hati bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
‘Walaupun kita hanya ada 4 parti dalam kompenan BN di Sabah, namun kita memerlukan antara satu sama lain untuk terus mendokong kerajaan yang ada, BN perlu mengambil pendekatan terutamanya merapatkan barisan kepimpinan dalam dan menyatukan seluruh jentera di semua peringkat sebelum kita berdepan PRU yang akan diadakan bila bila masa sahaja,” jelas Bung.
Bung berkata, amat penting kesiapsiagaan bukan sahaja jentera pilihan raya tetapi gerak kerja yang dilakukan berbeza dengan pilihanraya sebelum ini .
“Kita mahu kewujudan BN itu bukan sahaja dihargai namun sentiasa dekat dihati rakyat sebagai jenama yang sentiasa memperjuangkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya.
Tambah Bung, Umno telah bergerak sekian lama namun BN mahu parti-parti lain bersama-sama dengan Umno untuk bergerak seiring sejalan di dalam menentukan kemenangan PRU-15.
Pelbagai program siap diatur untuk pengisian Konvensyen kali ini antaranya Forum “Politik dan Ekonomi Sabah” dengan menampilkan ahli-ahli panel Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said, Datuk Ahmad Shabery Cik, Drs Monih Epin, Prof Madya TS Dr Ramzah Dambul yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Pamela sebagai moderatornya.
Turut mengisi program ialah Bicara Seorang Negarawan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Dipentas yang lain sempana konvensyen Forum Anak Muda dimana Ketua Pemuda Umno Sabah Ir Aziz Julkarnain(Umno) , Prof Madya Dr Edwin (PBRS) Roger (MCA) dan Azuwan Marjan dari Majlis Belia Malaysia akan menjadi ahli panel dan Moderatornya Ketua Puteri Umno Sabah Datuk Dr.Fadilah Sabri.
Konvensyen itu akan dirasmikan penutupannya oleh Pengerusi BN Malaysia Dato Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.