NABAWAN: Setelah hampir dua tahun tiada acara besar diadakan di Daerah Kecil Pegalungan susulan pandemik Covid-19, baru-baru ini perasmian penutupan Karnival Sukan Daerah Kecil Pagalungan berjaya diadakan di daerah kecil itu.
Perasmian Karnival anjuran Mahkamah Anak Negeri Daerah Kecil Pagalungan itu disempurnakan Menteri Belia Sukan Datuk Ellron Angin di Balai Budaya, Pagalungan
Antara sukan yang dipertandingkan ialah sepak takraw, bola sepak, lumba bot, tarik tali dan lumba perahu.
Ia disertai belia-belia dari kampung-kampung yang terletak dalam kawasan
Pagalungan.
Dalam ucapannya, Ellron berkata karnival sukan itu, antara lain bertujuan mengeratkan silaturahim di kalangan warga Daerah Kecil Pagalungan,selepas dua tahun tidak bersua ekoran penularan pandemik Covid-19.
Beliau yang juga Adun Sook berkata karnival sukan itu juga bermatlamat mencungkil bakat-bakat muda dalam bidang sukan untuk diketengahkan.
“Kita melihat belia-belia Pagalungan mempunyai potensi yang boleh diasah dan digilap terutama dalam bidang sukan, oleh itu menerusi karnival sukan inilah yang, kita dapat melihat mereka yang berpotensi untuk dilentur,” tambah Ellron.
Beliau berharap agar pengelolaan karnival sukan itu dapat diteruskan dan dianjurkan lagi pada tahun depan.
Selain itu, katanya mana-mana jenis sukan yang bersesuaian dengan keadaan geografi Daerah Kecil Pagalungan juga boleh ditambah dalam karnival yang akan datang.
“Dengan keadaan muka bumi yang mencabar serta ekstrim, diharapkan para ibu bapa tetap cekal dan bersabar dalam membesarkan anak-anak, buat perancangan terbaik untuk masa depan anak-anak terutama dalam bidang pendidikan,” gesa beliau.
Karnival sukan yang bermula pada 8 Jun berakhir dengan acara sukan lumba perahu sebagai penutup tirai karnival sukan itu.