KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mempersoalkan keutamaan kerajaan samada mahu mengeluarkan Kad Pengenalan (IC) Sabah digital kepada rakyat tulen terlebih dahulu atau kad pengenalan digital kepada pendatang asing di Sabah.
Menurut Ewon, kerajaan negeri harus memberi penjelasan kepada rakyat mengenai keutamaan mereka kerana mereka berkempen semasa pilihanraya lepas menggunakan isu-isu tersebut.
“Rakan-rakan dalam blok kerajaan banyak bercakap mengenai cadangan mengeluarkan IC Sabah termasuk secara digital. Dalam masa yang sama, mereka juga bercakap mengenai cadangan pemberian kad pengenalan digital kepada pendatang asing di Sabah.
“Rakyat Sabah mesti bertanya, mana satu keutamaan kerajaan negeri. Dalam pemberian kad pengenalan digital ini, adakah rakyat tulen Sabah yang akan diutamakan dahulu atau pendatang asing?” katanya.
Menurut Ewon, cadangan pengeluaran IC Sabah pernah dibawa ke sidang dewan undangan negeri Sabah yang lepas tetapi jawapan bertulis daripada kerajaan negeri menyatakan ia tidak mempunyai rancangan untuk mengeluarkan IC Sabah.
“Saya bertanya secara bertulis kepada kerajaan negeri samada mereka mempunyai cadangan mengeluarkan IC Sabah dan jawapan yang diberikan kepada saya menyatakan tidak ada rancangan sedemikian.
“Kemudian kerajaan mengumumkan program pendataan pendatang asing di Sabah termasuk cadangan mengeluarkan kad pengenalan secara digital kepada mereka. Ini memberi gambaran mengenai keutamaan yang akan diambil oleh kerajaan,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan demikian kepada media selepas merasmikan mesyuarat agung tritahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Gen-Y UPKO Bahagian Sepanggar di Dewan Kampung Bantayan di sini, hari ini.
Kelmarin, Ewon menempelak pimpinan kerajaan kerana sebelum ini berkempen mahu menghantar semula “kumpit-kumpit” balik ke negara asal tetapi sebaliknya memperbaharui cadangan kerajaan terdahului untuk memberi dokumen pengenalan kepada pendatang asing di Sabah.
Ewon turut menggesa kerajaan negeri agar memberi penjelasan di sidang DUN akan datang berkenaan program pendataan pendatang asing terutamanya cadangan pemberian dokumen pengenalan kepada mereka.
“Samada ianya dipanggil kad atau pass, samada ianya secara digital atau sekeping kad, saya menggesa kerajaan negeri agar memberi penjelasan di sidang DUN agar ianya dibahas oleh ADUN-ADUN,” katanya.
“Kempen mereka sebelum ini dan apa yang mereka mahu laksanakan sekarang umpama menjilat ludah sendiri,” katanya.