PH Sabah ada autonomi putuskan perkara menyentuh kepentingan Sabah – Ewon

BENGKOKA: Pakatan Harapan (PH) Sabah akan memutuskan secara autonomi apa-apa perkara yang menyentuh kepentingan Sabah, tanpa perlu merujuk dan mendapatkan persetujuan rakan-rakan PH di Kuala Lumpur.

Advertisements

Pandangan yang dilihat sebagai tegas itu disuarakan Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick.

UPKO merupakan anggota gabungan parti komponen PH. Selain UPKO, PH turut dianggotai PKR, DAP dan Amanah.

Sambil mengambil contoh tindakan undang-undang yang diambil oleh Ahli-Ahli Parlimen (MP) dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok Pakatan Harapan (PH) Sabah yang memfailkan saman berhubung tuntutan hasil 40% semalam, Ewon berkata keputusan itu mejurus kepada adanya autonomi pimpinan PH Sabah.

“PH merupakan satu blok politik di peringkat nasional tetapi dalam hal-hal berkaitan Perjanjian Malaysia dan hak-hak Sabah, PH Sabah akan membuat pendirian dan keputusan secara berautonomi. Kita tidak perlu merujuk dan mendapatkan persetujuan rakan-rakan kita di Kuala Lumpur.

“Kita hanya perlu memaklumkan mereka mengenai pendirian dan keputusan yang kita ambil kerana hal-hal Sabah perlu diputuskan di Sabah. Ini mesej yang kita mahu sampaikan kepada mereka. Selagi saya berada di dalam UPKO di dalam blok nasional ini, saya akan terus menyatakan pendirian saya seperti ini,” katanya.

Ewon berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Kudat 2022, di Dewan Kg.Sinukab Pitas, di sini, pada Sabtu.

Beliau yang juga ADUN Kadamaian bersama kesemua MP-MP dan ADUN-ADUN Sabah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak kelmarin untuk meminta perisytiharan mahkamah bahawa pemberian hasil persekutuan 40% di Sabah seperti dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan Malaysia masih terpakai dan perlu ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Tindakan undang-undang tersebut diambil oleh PH Sabah susulan jawapan Menteri Kewangan Persekutuan, Tengku Zafrul Aziz di Parlimen pada Mac lalu bahawa pemberian hasil 40% tersebut tidak lagi terpakai susulan keputusan baharu yang dicapai di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Menurut Ewon, UPKO akan terus memberi pandangan dan cadangan bagaimana blok politik nasional boleh diperkasakan melalui pemerkasaan autonomi di peringkat negeri.

“Rakyat Sabah telah memutuskan untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, bererti semua rakyat tidak kira dari mana negeri sekalipun berhak menjadi pemimpin nasional dan pentadbir persekutuan negara ini. Tetapi dalam hal-hal melibatkan hak negeri apatah lagi dinyatakan dalam Perjanjin Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan, autonomi keputusan harus diberikan kepada pimpinan negeri.

“Saya percaya desentralisasi politik dan tadbir urus Kerajaan akan dapat memperkasa dan mempercepatkan pembangunan di Sabah, bukan hanya dalam perkara berkaitan dengan politik, tetapi juga kesihatan, pendidikan, kerja raya, tenaga buruh dan sebagainya. Ini akan menjadi pendekatan saya dan penyertaan parti UPKO dalam blok politik,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ewon juga ingin melihat reaksi Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Barisan Nasional (BN) berkenaan tindakan saman yang diambil oleh PH Sabah tersebut.

“Kerajaan Negeri merupakan defendan kedua dalam saman pemula yang telah kami failkan. Tidak masuk akal sekiranya Kerajaan Negeri pula menolak atau mahu membatalkan saman ini. Kita mengalu-alukan kesatuan dengan pihak blok GRS dalam menuntut dengan lebih tegas berkenaan hak perlembagaan hasil 40% Sabah ini,” katanya.

– Sumber Nabalu News

Related Articles

253FansLike

Latest Articles