MANJUNG, PERAK: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah melawat Dindings Tyson Sdn Bhd di Negeri Perak bagi meninjau kelangsungan operasi bagi memastikan pengeluaran ayam terus lancar sekaligus mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan.
Ladang ayam ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 280,000 ayam sehari. Di Negeri Perak sahaja, terdapat 533 ladang unggas pada tahun 2022 yang merangkumi ayam dan itik dan Daerah Manjung di sini merupakan daerah terbesar dengan 180 ladang.
Dr Ronald berkata libat urus Kementerian dan pihak industri seperti ini adalah penting bagi mengetahui masalah dan cabaran yang dihadapi dalam mengolah pendekatan-pendekatan dan dasar supaya industri ternakan ayam terus dibangunkan dan stabil.
“Malaysia berkemampuan untuk bersaing dengan negara jiran seperti Thailand dalam meningkatkan kualiti ayam serta mengurangkan kos pengeluaran melalui aplikasi teknologi-teknologi moden,” jelas beliau.
MAFI juga diberi taklimat berkenaan teknologi percubaan Tyson Model House yang telah berjaya dilaksanakan oleh Dinding Poulty Development Centre (DPDC) yang terbukti dapat meningkatkan kadar pengeluaran ayam sebanyak 2.3 kali.
Teknologi kaedah moden ini juga dapat membaiki proses pengeluaran ayam dan meningkatkan kualiti ayam seperti sistem pengudaraan yang lebih baik dan pengawalan cuaca dalam reban.
Tambah Dr Ronald lagi industri ayam sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran seperti kenaikan kos dan masalah buruh. Oleh itu, Kerajaan prihatin dan ambil berat kepentingan industri dan pada masa yang sama, MAFI juga melihat kepentingan rakyat untuk mendapatkan sumber protein ayam dengan harga yang munasabah.
Kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90/kg dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.
Buat masa ini MAFI sedang giat melaksanakan pemberian subsidi ini yang bertujuan untuk meringankan beban pengusaha susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70% dari kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan. Setakat ini, RM71 juta subsidi telah dibayar setakat ini. Semua penternak boleh terus kemukakan permohonan supaya tuntutan dapat disalurkan.
Subsidi ini diberikan kepada semua kategori iaitu penternak persendirian, penternak integrator/semi-integrator dan juga penternak kontrak di mana berdasarkan rekod pendaftaran penternak di seluruh negara, dianggarkan seramai 2,255 orang penternak dan pengusaha akan menikmati subsidi ini.
“Saya melihat sejak 10 hari yang lalu tiada kekurangan yang ketara di pasar raya, pasar tani dan pasar-pasar keseluruhannya. Saya rasa pihak pengusaha ternakan ayam telah mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan bekalan keperluan 1.8 juta hingga 2 juta ayam setiap hari mampu dibekalkan,” ujar beliau.
Selain lawatan ladang ayam, Dr Ronald juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada Persatuan Penternak Ayam Manjung.
MAFI terus komited memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dengan pemberian subsidi oleh Kerajaan bagi memastikan bekalan ayam dan telur dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.
Turut hadir bersama, YBhg. Datuk Badrul Hisham Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, YBhg. Dato’ Dr. Norlizan Bin Mohd Noor, Ketua Pengarah DVS, YBrs. Dr Suratan bin Kamarudin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) DVS, YBrs. Encik Mohd Khairuzaki bin Paiman, Timbalan Setiausaha Bahagian Sekuriti Makanan MAFI, YBrs. Dr. Ahmad Shafri, Pengarah DVS Perak dan YBrs. Puan Nursyeanti, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak serta Encik Teh Wee Chye, Pengarah Pengurus Kumpulan Malayan Flour Mills Berhad.