Program sempena Ramadan Eratkan Pelajar dan Kakitangan FSSA UMS

 
KOTA KINABALU: Bertemakan ‘Meraikan Ramadan Bersama’, Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Persatuan Kakitangan FSSA dengan kerjasama Persatuan Pelajar FSSA menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan Ramadan tahun ini.
 
Menurut Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau, tujuan utama penganjuran program tersebut adalah untuk mengukuhkan silaturahim dalam kalangan staf akademik dan pentadbiran serta meraikan para pelajar FSSA.  
 
“Setelah hampir dua tahun tidak mengikuti pembelajaran di kampus dan hanya mengikuti pembelajaran secara atas talian disebabkan oleh krisis pandemik Covid-19, majlis seumpama ini diharapkan dapat merapatkan lagi hubungan di antara staf dan pelajar yang mengikuti pembelajaran sepenuhnya secara fizikal pada Semester 2 Sesi 2021/2022,” katanya.
 
Tambah Jualang, pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang bulan Ramadan termasuklah majlis berbuka puasa yang dihadiri oleh kira-kira 400 warga FSSA dengan menyediakan juadah berbuka secara rewang.  
 
Antara program lain yang dijalankan termasuklah agihan 2,240 pek iftar kepada para pelajar FSSA melalui program Kongsi Rezeki yang diketuai oleh Penolong Pendaftar Kanan, Yazmin Suraya Yusof.
 
Menurut Yazmin, program agihan tersebut dijalankan dua kali seminggu sepanjang bulan Ramadan.
 
“Sebanyak RM20,000.00 telah berjaya dikumpul untuk membiayai program agihan pek iftar kepada pelajar-pelajar yang memerlukan ini. Adalah menjadi harapan agar program Kongsi Rezeki ini dapat terus dilaksanakan di masa hadapan,” ujar beliau.
 
Yazmin turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua para dermawan yang terdiri dari warga FSSA dan masyarakat luar UMS yang telah sudi untuk menyumbang dan bersama-sama merealisasikan serta menjayakan program Kongsi Rezeki ini.
 
Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa FSSA (PMFSSA) Mohd Khairul Hafiz bin Abdul Halim berkata, pihaknya turut mengadakan program Ceramah Perdana Sempena 10 Malam Terakhir Ramadan yang telah berlangsung pada 23 April 2022 lalu secara dalam talian.
 
“Ceramah yang disertai 500 peserta itu disampaikan oleh Imam Besar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Ustaz Zamzuhardi Zakaria dengan tajuk ‘Ibadah Sepanjang Ramadan’”, jelasnya.
 
FSSA turut menerima sumbangan sebanyak 80 kotak Rice Straw daripada Yape Sdn. Bhd. untuk diedarkan kepada pelajar.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles