UMS Santuni Pelajar dan Kakitangan B40 di Majlis Iftar Perdana

 
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyantuni pelajar dan kakitangan dari keluarga berpendapatan rendah B40 dalam Majlis Iftar Perdana tahun ini.
 
Sumbangan berbentuk bantuan zakat asnaf kepada pelajar dan kakitangan UMS itu disampaikan oleh Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Tabung Haji Negeri Sabah.
 
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata sumbangan tersebut amat dihargai oleh UMS dan diharap dapat digunakan
sebaiknya oleh 130 penerima dalam kalangan pelajar dan kakitangan.
 
“UMS berbesar hati dengan sumbangan yang diberikan oleh MUIS dan Tabung Haji tahun ini dan diharap ia dapat terus dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang.
 
“UMS juga komited dan bersedia untuk sentiasa membantu para pelajar dan kakitangan yang berkeperluan pada bila-bila masa,” ujarnya ketika ditemui selepas acara berbuka puasa.
 
Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS yang diwakili oleh Penolong Setiausaha Kanan (Dana Zakat) Akmal Syazwan bin Sapian menyumbang sebanyak RM38,000 manakala Tabung Haji Negeri Sabah yang diwakili oleh Pengarah, Tuan Haji Yusdi Nasip menyumbang sebanyak RM45,000.
 
Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Hajah Nurlaila Haji Said, serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles