Isteri KM: Program Kembara Skuad Waja perlu diperluaskan ke kawasan luar bandar

TUARAN: Program Kembara Skuad Waja perlu diperluaskan ke semua kawasan luar bandar di negeri ini bagi membantu memperkasakan komuniti setempat dengan ilmu perundangan dan meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu jenayah.
Isteri Ketua Menteri yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (MUTIARA GRS-BN), Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag, berkata ilmu seperti ini akan membantu komuniti di kawasan terbabit khususnya wanita jika berdepan dengan sebarang masalah berkaitan.
“Saya juga dimaklumkan bahawa Skuad Waja turut berperanan memberi panduan kepada masyarakat tentang pentingnya usaha menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita termasuk membantu mereka yang menjadi mangsa untuk merujuk kes kepada pihak yang berwajib dan mendapatkan pertolongan profesional.
“Saya melihat, peranan yang dimainkan oleh Skuad Waja ini amat baik khususnya dalam membantu wanita di negeri ini. Ini kerana, dalam era masa kini, wanita sama ada suri rumah tangga dan mereka yang berkerjaya perlu mengetahui hak mereka dan apa yang sepatutnya dilakukan jika berdepan dengan apa juga masalah.
“Saya juga berharap Skuad Waja akan terus memainkan peranan mereka untuk membantu wanita di negeri ini bukan hanya dalam aspek perundangan tetapi juga kebajikan. Semoga program seperti ini terus diperluaskan ke kawasan luar bandar di negeri ini, agar lebih ramai wanita mendapat manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena majlis perasmian Program Psikososial: Kembara Skuad Waja Siri 1 Zon Dua di Kampung Serusup, di sini, pada Ahad.
Sempena majlis itu, sebanyak 1,000 bubur lambuk diedarkan kepada masyarakat setempat menerusi program berkenaan.
Juliah juga berharap lebih ramai wanita yang akan mendaftar dan menjadi Ahli Skuad Waja Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
“Dengan ini, mereka boleh menjadi mata dan telinga dalam komuniti selain memberi kesedaran mengenai kepentingan memahami aspek perundangan dan melaporkan kes keganasan rumahtangga serta isu jenayah yang berkaitan,” katanya.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles