Isu 40% hasil persekutuan untuk Sabah, Ewon sedia bawa ke mahkamah

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedik menyatakan beliau bersedia membawa ke mahkamah isu berkaitan Pemberian Khas dan 40% Pemberian Hasil Persekutuan di Sabah agar rakyat Sabah mendapat penjelasan melalui proses undang-undang.

Advertisements

Menurut Ewon, penjelasan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Persekutuan Tengku Zafrul Aziz bahawa pemberian semula hasil persekutuan di Sabah berdasarkan formula 40% di bawah Perkara 112 C&D tidak lagi terpakai kerana ada keputusan baharu dicapai di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri telah mencetuskan polemik baharu politik di Sabah.

“Saya telah meminta penjelasan ini dalam sidang DUN Sabah baru-baru ini. Menteri Kewangan II Datuk Masidi Manjun mengatakan Kerajaan Negeri tidak pernah “surrender” 40% tetapi ianya “non-negotiable”, ada perkara yang dipersetujui dan ada perkara yang masih dirunding.

“Walaupun Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor mengatakan akan terus memperjuangkan perolehan hasil berdasarkan formula 40%, tetapi kita ingin melihat satu pemuktamadan kepada isu ini agar rakyat Sabah mendapat penjelasan sebenar terutama selepas kita mengetahui adanya warta kerajaan pada tahun 1970 yang menyatakan mengenai Pemberian Khas kepada Sabah.

“Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang. Sebagai salah seorang ADUN yang telah mengangkat sumpah memelihara dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Negeri Sabah, saya sedia membawa isu berkaitan formula 40% di bawah Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan dan kesahihan pelaksanaan Pemberian Khas mengikut warta kerajaan 1970 ke mahkamah.

“Saya berpendapat formula 40% dan pemberian khas adalah dua perkara yang berbeza. Bagaimanapun, PH Sabah akan mengadakan perbincangan dengan para peguam berkenaan isu ini,” katanya.

Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) menyatakan demikian dalam perjumpaan dengan Ketua-Ketua Cawangan, Wanita dan Pemuda parti tersebut dari Mukim Tamu Darat dan Mukim Piasau, kelmarin.

Sebanyak 16 Cawangan UPKO dari kedua-dua Mukim tersebut hadir dalam perjumpaan tersebut yang diadakan di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, di sini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles