KUALA LUMPUR: Import makanan mencatat nilai RM63.6 bilion pada tahun 2021 berbanding RM55.4 bilion pada tahun 2020 bagi memastikan bekalan makanan domestik terjamin dan memenuhi keperluan industri tempatan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata antara bahan makanan yang menyumbang kepada nilai import yang tinggi termasuk beras, bijiran dan sediaan bijirin, makanan ternakan, kopi, koko, teh, rempah dan keluaran, ikan, moluska dan sediaan, sayur-sayuran dan buah-buahan; daging dan sediaan daging serta hasil tenusu.
Katanya secara ringkasnya, perangkaan ini turut meliputi keperluan 30 peratus beras dan 70 peratus daging dari sumber import.
“Bagi meningkatkan pengeluaran makanan domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada import, strategi yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata strategi yang telah sedang dilaksanakan oleh MAFI adalah pertama, meningkatkan pengeluaran beras negara dengan pendekatan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) secara usahasama antara Kerajaan, pihak swasta dan pesawah yang menyasarkan peningkatan purata hasil padi per hektar daripada 3.5 tan metrik kepada tujuh tan metrik dan tahap sara diri (SSL) beras sebanyak 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
Katanya kedua adalah menubuhkan Lembaga Ruminan Negara (LRN) yang dijangka akan beroperasi secara berfasa mulai tahun ini.
Menurutnya LRN akan menyokong Pelan Strategik dan Tindakan Pembangunan Industri Pedaging Negara (Bif Plan) 2021-2025 serta Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara (Dairy Plan) 2021-2025 bagi memacu pertumbuhan industri ruminan secara bersasar dan meningkatkan SSL daging lembu kepada 50 peratus dan SSL susu segar kepada 100 peratus menjelang tahun 2025.
Katanya ketiga, merangka dasar khusus yang baharu mengenai pembangunan industri jagung bijian untuk mengurangkan import makanan ternakan yang merangkumi pendekatan berskala besar dan mengalakkan penglibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau berkata keempat adalah menambah baik infrastruktur, kemudahan dan fasiliti serta meningkatkan penerimagunaan teknologi moden, diikuti kelima, menyokong inisiatif pemodenan dan pertanian pintar serta keenam adalah mempergiat aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.
“Strategi-strategi ini akan terus diberikan tumpuan dan fokus oleh Kementerian dalam meningkatkan bekalan makanan negara sepanjang tempoh 10 tahun akan datang pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025,” kata Ronald.