KOTA KINABALU: Sabah masih mundur dan agak ketinggalan daripada segi pembangunan kerana terlalu kerap mengadakan pilihan raya, demikian persidangan dewan undangan negeri Sabah diberitahu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Bung Moktar Radin berkata berdasarkan rekod lampau, negeri Sabah telah melaksanakan pilihanraya negeri (PRN) sebanyak 16 kali, jauh lebih kerap berbanding negeri-negeri yang lain di negara ini.
Menurutnya kekerapan pilihan raya negeri itu secara tidak langsung telah merencatkan perancangan, pentadbiran dan pelaksanaan pembangunan negeri ini.
Selain itu, Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata kekerapan PRN telah memberikan persepsi yang tidak baik kepada pelabur-pelabur luar yang menyebabkan mereka tidak berminat untuk datang melabur ke negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan prnggulungan bagi kementeriannya pada sidang dewan undangan negeri di sini hari ini.
Mengenai projek lebuhraya Pan Borneo, Bung berkata pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah di kawasan projek yang menyebabkan bencana alam, termasuk banjir kilat khususnya di kawasan laluan sungai seperti Penampang, Tuaran dan Kota Belud.
Katanya kementerian melalui JKR Sabah telah meneliti dan mengenalpasti risiko banjir di kawasan laluan sungai dan kawasan-kawasan rendah, impak daripada pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo.
Sebagai langkah untuk mengurangkan risiko bencana, Bung berkata JKR telah meminta pihak juruperunding untuk mengkaji semula kawasan-kawasan yang dilanda banjir semasa tempoh pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo.
Menurutnya jika terdapat kekurangan maklumat semasa rekabentuk awalan, kontraktor pakej diminta untuk melaksanakan kerja-kerja berdasarkan hasil kajian dan rekabentuk semula.
Bung berkata Kontraktor pakej kerja juga telah diarah untuk membuat pembinaan parit dan paip pembetung tambahan serta pemasangan culvert, sesuai dengan kajian dan rekabentuk semula.