Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU : Kerajaan Persekutuan perlu memngambil pendekatan baharu dan serius dalam merancang pembangunan di Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian serta tindakan yang serius bukan sahaja kedua-dua negeri tersebut besar berbanding negeri-negeri di Semenanjung malah dari segi aspek pembangunan kedua-dua negeri berkenaan amat jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.
Menurut Bung pelaksanaan tender terbuka dalam perancangan pembangunan di Sabah dan Sarawak yang menjadi amalan sebelum ini kini dilihat sudah tidak relevan kerana ‘sesuatu projek memerlukan masa lama untuk dilaksanakan’.
“Sabah dan Sarawak mempunyai keluasan agak besar berbanding negeri negeri lain…ini sudah tentu peruntukan untuk tujuan pembangunan tidak boleh disamakan. Kita telah melaluinya berpuluh-puluh tahun dan mungkin tender terbuka sudah tidak sesuai.
“Kerajaan Persekutuan kena melantik kosultan yang memakan masa tiga ke enam bulan, selepas dilantik konsultan, proses membuat reka bentuk pula mengambil selama setahun.
“Selepas itu tender terbuka selama satu tahun dan dalam tempoh tiga tahun setengah itu hanya baru jalan satu projek, jadi bagiamana kita boleh mengwujudkan pembangunan yang seimbang antara Wilayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasig Titah Yang DI-Pertuan Agong Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri , mengingatkan Kerajaan pusat , sekiranya perkara tersebut sukar dilaksanakan, peruntukan sebanyak RM5 bilion setahun perlu diberikan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menguruskan dan merancang pembangunan yang menjadi keutamaan untuk dilaksanakan
Menurut beliau saranan itu wajar dipertimbangkan memandangkan peruntukan yang diberikan setiap tahun tidak dapat digunakan sepenuhnya dan hanya dapat dilaksanakan sekitar 38 peratus setiap tahun.
“RM5 bilion itu sedikit sahaja terpakai dan dibawa ke hadapan lagi…akan datang umum lagi RM5 bilion. Padahal yang terpakai hanya RM1 bilion lebih, jadi sampai bila keadaan ini berlarutan ” tegasnya yang mengingatkan Kerajaan jangan mempermainkan perasaan penduduk di Sabah dan Sarawak.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri bersetuju meluluskan fasa satu Pakej Lebuh Pan Borneo 19 pakej untuk Sabah.
“Seharusnya keputusan ini telah lama diambil tindakan berbanding dengan negeri jiran Sarawak Lebuh Raya Pan Borneo sudah hampir 85 peratus siap tapi di Sabah fasa satu baru bermula dan inilah antara kakangan yang melambatkan proses pembangunan di Sabah,” katanya.
Sehubungan itu Bung meminta kerajaan Persekutun supaya mengambil perhatian yang serius untuk memberikan peruntukan kepada negeri Sabah khususnya dalam penyediaan sistem perhubungan jalanraya yang agak jauh ketinggalan.