KUALA LUMPUR, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) menyeru agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Kemiskinan Tinggi di Sabah ditubuhkan bagi mencari penyelesaian tuntas tentang isu kemiskinan di negeri ini.
Katanya, penyelesaian secara menyeluruh perlu diambil terhadap kemiskinan yang sangat tinggi di samping pertumbuhan penduduk Sabah yang sangat luar biasa.
“Kadar kemiskinan di Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia. Pada tahun 2021, kadarnya ialah 25%.
“Selain daripada kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19, kadar ini juga bertambah buruk kerana tindakan kerajaan memasukkan penduduk yang memiliki dokumen kewarganegaraan yang diragui ke dalam senarai penduduk Sabah dimana penduduk ini adalah rata-rata berpendapatan di bawah garis kemiskinan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya penubuhan RCI salah satu pendekatan yang terbaik untuk menyiasat punca sebenar kemiskinan di negeri ini.
Madius turut meminta Unit Perancang Ekonomi (EPU) bersama-sama Unit Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri menyiasat penduduk Sabah dengan dokumen Kad Pengenalan meragukan yang telah dimasukkan ke dalam senarai rakyat termiskin di Sabah.
“Saya mohon agar perkara ini disiasat. Apakah ini benar-benar berlaku?
“Kerajaan seharusnya mempelajari bagaimana negara China mengenal pasti senarai dan seterusnya memperkenalkan program pembasmian penduduk miskin di suatu penempatan.
“Mereka bukan saja melibatkan kakitangan kerajaan seperti ‘Focus Group’ tetapi juga melibatkan setiap ketua keluarga dalam penempatan tersebut.
“Kakitangan kerajaan (China) hanya terlibat dalam membuat kajian pendapatan isi rumah sebenar dan mereka yang disenaraikan sebagai rakyat termiskin di putuskan oleh ketua-ketua isi rumah melalui satu proses pemilihan insitusi.
“Mereka (kerajaan China) juga mencadangkan program untuk mengatasi masalah kemiskinan bersasar mengikut kedudukan sosio-ekonomi keluarga yang berkenaan,” jelasnya.
Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian dalam ucapan perbahasan di Persidangan Dewan Parlimen pada Rabu.