KOTA KINABALU: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam, 18 Februari 2022, bahawa Kerajaan telah bersetuju untuk membentang dan memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini adalah tepat mengikut semangat memorandum persefahaman (MoU), yang telah ditandatangani antara YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) pada Ogos lalu.
Kenyataan YB Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ini juga selaras dengan pendirian yang diketengahkan oleh PH dalam pertemuan dengan beliau, di mana PH telah menegaskan bahawa RUU ini perlu dibawa ke Parlimen mengikut garis masa yang telah dipersetujui dan ditetapkan sebelum ini.
Mengikut YB Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, keputusan itu juga selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri yang mahu pindaan RUU berkenaan disegerakan dan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 tahun 2022, yang mana saya melihat ia wajar dan menunjukkan kepimpinan YAB Perdana Menteri menunaikan janji beliau dan pendirian PH.
Pada pandangan PH, pembentangan RUU ini tidak wajar ditangguh dan dilewatkan kerana rakyat akar umbi mahukan perubahan yang ketara bagi memastikan tiada mana-mana wakil rakyat yang bertindak melompat parti, sekali gus mempertahankan integriti dewan perundangan dan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.
Pengumuman YB Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga dengan sendiri menafikan pandangan sesetengah pihak bahawa RUU ini tidak akan dibentangkan dan tidak akan menjadi kenyataan kerana Kerajaan Pusat tidak serius dan MoU yang dimeterai oleh PH tidak bernilai dan tidak bertaring.
Jika ada mana-mana perkara yang belum padu, saya percaya kita masih ada masa untuk melakukan penambahbaikan. Apa yang penting RUU ini harus dan perlu dibawa ke sesi Parlimen Februari-Mac ini. Saya juga berharap kerajaan-kerajaan negeri akan mengambil langkah yang sama untuk meminda undang-undang di peringkat negeri, termasuk Perlembagaan Negeri masing-masing.
DATUK SERI PANGLIMA WILFRED MADIUS TANGAU, PRESIDEN PERTUBUHAN KINABALU PROGRESIF BERSATU (UPKO), MERANGKAP AHLI PARLIMEN TUARAN DAN AHLI JAWATANKUASA TEKNIKAL RUU ANTI LOMPAT PARTI