Srikandi Bersatu Sabah cadang kemuka empat calon wanita pada PRU15

KOTA KINABALU: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah bercadang akan mengemukakan empat calon wanita untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Advertisements

Ketuanya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, nama empat calon yang dicadangkan juga sudah dikemukakan kepada pimpinan tertinggi parti negeri dan Pusat.

Katanya, sejak dahulu lagi beliau sering menyuarakan tuntutan untuk menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita untuk setiap PRU.

“Tetapi kadang kala kita kena realistik kerana ada sebahagian tempat kita ada calon yang berpotensi tetapi jika kerusi itu milik orang lain, jadi kita terpaksa (lepaskan), mana boleh kita ambil orang punya. Jadi kita kena seimbangkannya.

“Tetapi, sekurang-kurangnya kita mahu kemukakan empat orang calon. Sudah ada calon, sudah tentu muka baharu dan lebih mudah daripada saya. Tetapi kita tidak boleh umumkan dulu. Nama mereka pun sudah kita kemuka kepada kepimpinan parti negeri dan kepada Srikandi Malaysia pun kita sudah bagi,” katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung calon yang akan diketengahkan Srikandi Bersatu Sabah untuk PRU akan datang.

Tambah beliau lagi, empat calon yang dicadangkan itu juga sudah dikenali ramai di peringkat akar umbi di negeri ini namun dalam masa sama mereka perlu terus bekerja keras untuk rakyat.

“Semua calon memang ada potensi dan buat kerja di bawah supaya mereka boleh diterima rakyat namun mereka ini sebenarnya memang sudah dikenali pun.

“Sebab mereka bekerja di bawah sentiasa, jadi secara dasarnya ramai yang sudah dikenali,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort menegaskan akan mempertahankan kerusi berkenaan untuk Bersatu.

“Sebagai orang parti mesti kita mahu mempertahankan kerusi kita tidak kira siapa yang bertanding, saya atau sesiapa saja itu soal lain.

“Yang penting, sekarang ini kerusi itu mesti kita pertahankan. Siapa pun boleh kata itu kami punya, tetapi rakyat pun berubah juga,” katanya.

Kerusi Parlimen Beaufort yang disandangnya kini dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14 namun beliau kemudian menyertai Bersatu sekali gus menjadikan kerusi itu adalah milik parti berkenaan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles