Sumber – Nabalu News
KOTA KINABALU: Albert Bingkasan, 58, bekas Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau, meninggal dunia pada pukul 5.20 pagi tadi.
Bekas Wartawan Borneo Mail tahun 80-an itu meninggal dunia di Taman Sierra Menggatal.
Abangnya Joseph Bingkasan yang juga bekas wartawan berkata, Albert dibenarkan keluar dari Hospital Queen Elizabeth pada 26 Januari, selepas dimasukkan ke hospital itu akibat pelbagai penyakit.
“Kelmarin dia Ok tapi tadi pagi dia pengsan semasa di tandas. Isterinya menghubungi ambulans dan diberikan bantuan pernafasan tetapi tiada respond,” katanya.
Albert menghembuskan nafas terakhir dikelilingi isteri dan empat orang anaknya.
Joseph berkata, upacara pengkebumian akan diadakan di Tanah Perkuburan Keluarga Bingkasan Kg Talimakas Kionsom, Inanam.
Beliau merupakan Ketua Penerangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) sebelum melepaskan jawatan itu selepas pilihan raya negeri tahun 2020.
Para pemimpin Upko menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Ketua Penerangan Upko itu.
Presiden Upko Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, beliau terkejut apabila mendengar berita itu pagi ini.
“Mendiang merupakan bekas Setiausaha Politik saya dan bekas Ketua Penerangan Upko Malaysia.
“Sesungguhnya, mendiang merupakan seorang yang begitu dedikasi dalam setiap bidang tugasan yang dilakukan, sangat ramah perwatakannya dan begitu disenangi ramai dalam pergaulannya.
“Hari ini, kita kehilangan seorang sahabat, seorang pemimpin dan seorang ayah atau suami kepada isteri dan anak-anaknya.
“Salam takziah. Hati dan fikiran saya bersama seluruh ahli keluarga mendiang ketika ini,” kata Madius.
Sementara itu Naib Presiden Upko yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mendoakan supaya keluarga mendiang tabah dan sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih ini.
“Saya sedih apabila menerima perkhabaran pemergian Albert yang banyak bekerja untuk parti UPKO,” katanya.
Rakannya, Carlye Lajimin yang juga Timbalan Ketua Bahagian Upko Kota Belud turut menzahirkan ucapan takziah: “Damai lah engkau di sana sahabatku Albert Bingkasan. Takziah kepada seluruh keluarga yang ditinggalkan”.