Kerajaan Negeri melancarkan Pelan Induk Gas Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melancarkan Pelan Induk Gas Sabah, iaitu kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), sebagai pemacu pelaburan dalam sumber gas asli Sabah.
Bercakap di pelancaran Pelan Induk Gas Sabah di Menara PETRONAS 2 di sini hari ini, Hajiji berkata ia menandakan satu lagi peristiwa penting bagi Sabah selepas menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) pada 7 Disember tahun lalu.
Pelan Induk itu mengetengahkan tiga peluang pelaburan utama yang berlainan ciri untuk sumber gas asli Sabah, yang pertama ialah pembinaan loji gas asli cecair (LNG) dengan kapasiti 2.0 juta tan setahun (MTPA) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Kemudahan LNG, yang pertama di negeri ini juga akan memberi peluang kepada Sabah mengembangkan pengedaran LNG di seluruh negeri melalui aktiviti seperti sistem saluran paip maya, membolehkan lebih banyak perniagaan perindustrian dan komersial mengakses serta menggunakan gas asli sebagai sumber tenaga yang lebih bersih.
Kedua, Kerajaan Negeri Sabah akan mengambil peranan yang lebih menonjol dalam menerajui aktiviti pemasaran dan pengedaran gas di Sabah, dengan 120 MMscfd bekalan gas akan disediakan bagi pembangunan industri utama di negeri ini.
Gas asli itu akan dibekalkan dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis, dan Terminal Gas Sabah di Tuaran.
Sebagai tanda kemajuan hasrat itu, pemeteraian perjanjian induk (HOA) telah ditandatangani antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan PETRONAS untuk pembekalan 70 MMscfd gas asli, serta pertukaran dokumen HOA yang ditandatangani sebelum ini untuk 50 MMscfd bekalan gas asli, bagi kegunaan di Sabah yang disaksikan oleh Ketua Menteri.
Ketiga, Pelan Induk ini menekankan satu set derivatif pilihan petrokimia untuk Sabah bagi menarik pelabur, yang berdasarkan keperluan pasaran dan prospek masa depan, iaitu memanfaatkan bahan mentah yang sedia ada di dalam negara.
Sementara itu, Hajiji berkata beberapa cadangan juga telah disyorkan kepada Pelan Induk yang merangkumi lebih banyak aktiviti cari gali gas asli bagi memastikan bekalan mampan, pelan pembangunan komprehensif untuk Sabah mesti dirangka bagi mewujudkan lebih banyak industri tambah nilai di Sabah termasuk pembangunan hiliran petrokimia.
SOGIP mesti dijadikan tapak pelaburan minyak dan gas hiliran utama Sabah pada masa hadapan, tetapi masih banyak kerja perlu dilakukan untuk menjadikannya lebih menarik kepada pelabur, katanya.
Cadangan lain adalah mengenai keperluan untuk menilai bakat tempatan yang sedia ada dan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas, serta industri pembuatan dan pembinaan.
“Sebuah entiti negeri perlu dikenal pasti untuk memantau pelaksanaan cadangan Pelan Induk Gas Sabah,” katanya.
Hasil daripada penyelidikan bersama yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan PETRONAS terhadap industri minyak dan gas bagi mendapatkan pulangan ekonomi jangka panjang untuk Sabah dan rakyatnya, Pelan Induk Gas Sabah telah diperakui oleh Kabinet Negeri pada Oktober tahun lalu.
“Ia adalah bukti usaha kolaboratif antara kedua-dua pihak untuk meneruskan potensi penuh industri gas asli domestik secara mampan,” katanya.
“Kerjasama PETRONAS dalam Pelan Induk Gas Sabah amat kami hargai, termasuk dalam usaha untuk merangsang ekosistem pelaburan yang menarik dan berdaya saing untuk pelabur.
“Adalah menjadi aspirasi saya untuk Sabah mempertaruhkan tuntutannya yang sah dan melakar jalan yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah serta generasi akan datang. Kami akan terus berusaha untuk pembangunan yang saksama bagi memastikan terdapat banyak peluang kepada akyat Sabah untuk membangun dan mereka akan menikmati manfaat ketara daripada usaha yang dijalankan,” katanya.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles