Laporan cek dikembalikan atas alasan tidak halal adalah tidak tepat – Bank Muamalat

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd hari ini menegaskan bahawa laporan insiden cek yang didakwa dikembalikan oleh cawangan bank itu di Seremban atas alasan tidak halal adalah tidak tepat.
Bank itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa cek tidak pernah dikategori sebagai halal atau sebaliknya.
“Sebagai sebuah institusi perbankan, pihak bank menerima semua cek yang sah yang tertera butiran yang lengkap serta tepat,” menurut kenyataan itu.
Katanya pihak bank telah menghubungi pelanggan kerana terdapat kesilapan teknikal iaitu nama persatuan pada cek adalah berbeza dengan yang didaftarkan dan berikutan itu, pelanggan diminta membuat pembetulan.
Menurut bank itu, sebarang pertanyaan yang dikemukakan oleh pihaknya hanya bertujuan memenuhi prosedur pematuhan perbankan sedia ada serta bagi kepentingan pelanggan.
Kenyataan itu menyebut semua pihak telah mencapai kata sepakat bahawa tiada elemen halal atau sebaliknya berhubung pendepositan cek terbabit kecuali isu teknikal dan salah faham terpencil dalam sidang media hari ini bersama Bank Muamalat, ADUN Lobak Chew Seh Yong serta pelanggan terbabit.
Pihak terbabit juga bersetuju bahawa salah faham yang berlaku tiada kaitan dengan isu halal atau sebaliknya dan bersepakat bahawa kenyataan itu tidak tepat,” katanya. 
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata institusi perbankan itu sentiasa bersedia memberi layanan sebaiknya kepada semua pihak yang berurusan dengan pihak bank tanpa mengira agama dan bangsa.
“Sebagai sebuah institusi perbankan Islam, operasi Bank Muamalat tertakluk kepada pematuhan prinsip Syariah namun perkhidmatan perbankan kami diberi kepada semua pihak yang layak tanpa mengira fahaman agama mahupun bangsa,” katanya. 
— BERNAMA

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles