Ronald Kiandee Turun Padang Lawat Kawasan Banjir PPK Hulu Langat

  • HULU LANGAT: Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah mengadakan lawatan ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hulu Langat bagi meninjau kawasan yang terlibat dengan bencana banjir baru-baru ini.
    Dalam lawatan tersebut Dr. Ronald telah menyampaikan bantuan MAFI Prihatin yang membabitkan seramai lebih kurang 200 ahli Pertubuhan Peladang yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda. Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hulu Langat ini mempunyai keahlian seramai 2,210 orang melalui 14 buah unit peladang.
    Barangan makanan dan beras telah diserahkan kepada 10 penerima di Unit Peladang Kampung Jawa, dengan jumlah ahli terkesan adalah 100 orang, 10 penerima untuk Unit Peladang Sungai Lui dengan jumlah ahli terkesan berjumlah 115 orang, bagi Unit Peladang Batu 16 seorang penerima dengan jumlah ahli terkesan sebanyak 40 orang serta ahli Unit Peladang Batu 17 seramai 4 orang penerima dengan ahli terkesan seramai 60 orang.
    Antara PPK lain yang turut terjejas di Negeri Selangor selain PPK Hulu Langat, termasuk PPK Klang, PPK Dengkil dan PPK Kuala Langat.
    Dr. Ronald berkata pihak Kementerian sedang membuat penilaian bagi mengenal pasti kerosakan dan jumlah kerugian sebenar yang dialami oleh golongan sasar yang terkesan bagi menyediakan bantuan yang sewajarnya termasuk kepada Pertubuhan Peladang seluruh negara serta ahli-ahli peladang.
    MAFI melalui Jabatan dan Agensi di bawah juga telah menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh mangsa musibah banjir ini. Ini termasuk Bantuan Bekalan Makanan (Food Basket) yang meliputi bantuan barangan makanan keperluan asas seperti beras, tepung, tin sardine, susu, minyak, telur dan sebagainya. Bantuan Kilat juga diberikan kepada keluarga para nelayan yang terkesan bagi meringankan beban mereka.
    Tambah Dr. Ronald, Kerajaan sememangnya amat prihatin dengan mangsa banjir di seluruh negara dan setakat ini telah menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta sebagaimana yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam usaha menangani impak banjir.
    “Di bawah MAFI juga terdapat bantuan yang diberikan mengikut jenis tanaman iaitu tanaman padi dan tanaman agromakanan bertujuan membantu meringankan beban yang dialami oleh petani yang terkesan akibat bencana alam,” jelas beliau.
    Kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM80 juta bagi tempoh RMKe-12 di bawah Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA). PPSPA ini
    adalah bertujuan membantu meringankan bebanan kumpulan sasar yang terkesan akibat daripada bencana alam di mana bantuan meliputi input pertanian, peralatan, mesin dan bantuan lain yang bersesuaian.
    Manakala, di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) peruntukan sebanyak RM 12 juta diperuntukkan untuk membantu para petani yang mengalami kerosakan akibat bencana alam. RM 10 juta daripadanya disumbangkan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) manakala Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) juga menyumbangkan dana sebanyak RM2 juta.
    Sementara itu, MAFI bersama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga telah mengadakan aktiviti pembersihan bersama Kelab Sukan Dan Rekreasi (KSR) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Selangor dan skuad AKRAB MAFI.
    Turut hadir bersama dalam lawatan ini adalah Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan I, YB Datuk Seri Haji Ahmad Bin Hamzah, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan, YBhg. Datuk Haslina binti Abdul Hamid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI, Puan Azah Hanim Binti Ahmad, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, YBhg. Dato’ Azulita binti Salim, Setiausaha Bahagian MAFI (SUB), Ketua Pengarah Jabatan Veterinar (DVS), Dato’ Dr. Norlizan Mohd Noor, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Encik Nik Mohd. Shaharil bin Nik Md. Hashim, Pengerusi AKRAB MAFI, Encik Nor Fadzli bin Hasan, Pengerusi Kelab Sukan Dan Rekreasi (KSR) Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Encik Azrinie bin Shafie, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Operasi NADMA, Encik Meor Ismail Bin Meor Akim, pegawai-pegawai Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) serta pegawai-pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Selangor.
    MAFI juga telah membuka Bilik Gerakan Banjir dan menggerakkan operasi di semua peringkat bagi membantu warga petani, peladang, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara. Bilik Gerakan Banjir MAFI boleh di hubungi di talian 03-8870 1664/1491 atau emel bilikgerakan@mafi.gov.my untuk mendapatkan maklumat berkaitan pembukaan dan pengoperasian bilik gerakan bantuan banjir untuk sektor pertanian dan industri makanan.

    Advertisements
  • Related Articles

    253FansLike

    Latest Articles