Daftarkan GRS demi Kestabilan Politik Sabah

Oleh Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, Penganalisis Politik
 
Pada Khamis lepas (25 Nov) Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak, Pengerusi Kelab Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah melontarkan pandangan peribadi dalam media sosial beliau GRS sewajarnya didaftar sebagai sebuah platform politik rasmi untuk Sabah.
 

Advertisements

Posting beliau tersebut sudah pastinya menarik perhatian orang ramai dan terus dipetik dalam beberapa buah portal berita sehinggakan menjadi tular.
 
YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga merupakan Ketua Menteri Sabah menyambut baik cadangan tersebut dengan respons cadangan membincangkan hal ini secara bersama (konsensus).
 
Sebagai tambahan kepada usul mendaftarkan GRS dengan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) adalah cadangan tempoh had maksimum dua penggal memegang jawatan Ketua Menteri.
 
Rata-rata pemimpin-pemimpin parti komponen GRS telah meluahkan pandangan mereka yang boleh disimpulkan bersedia duduk bersama membincangkannya.
 
PBS menerusi Setiausaha Agungnya Datuk Joniston Bangkuai berpendapat memformalkan GRS adalah jalan ke hadapan yang mampu memperkukuhkan lagi gabungan parti politik tersebut di samping mempereratkan persefahaman dan perpaduan sesama parti-parti komponen GRS.
 
Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan, yang menyokong penuh idea tersebut menyatakan telah lama menunggu di samping berkongsi pengalaman beliau gabungan yang mentadbir negeri Sabah pada ketika ini masih belum didaftarkan sebagai sebuah entiti politik formal disebabkan ada pihak yang tidak berminat dengan idea berkenaan berdasarkan pengalaman beliau diamanahkan menguruskan pendaftaran tersebut tahun lepas.
 
Mengambilkira GRS terdiri daripada begitu banyak pihak iaitu Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada PPBM, STAR, PAS, SAPP dan Gerakan, Barisan Nasional (BN) yang merangkumi UMNO, PBRS, MCA dan MIC, dan Parti Bersatu Sabah (PBS), sudah pastinya kelihatan rumit sedikit.  
 
Paling mencabar adalah parti-parti politik yang sudah terikat dengan gabungan BN atau PN.
 
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin meskipun berpendapat pendaftaran GRS perlu diteliti begitupun beliau turut meluahkan UMNO Sabah bersedia berbincang untuk daftarkan GRS. Idea ini sudah pastinya menambah perkara yang perlu difikirkan apatah lagi kepimpinan beliau tidak disenangi oleh individu tertentu dari UMNO sendiri dari hari beliau diumumkan sebagai pengarah pilihan raya BN bagi PRN Sabah 2020.
 
Individu atau pihak yang ingin melobi menjadi calon hampir sudah pasti tidak mungkin akan bersetuju dengan idea mendaftarkan GRS ini melainkan ada jaminan mereka akan dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
 
Keputusan memberangsangkan UMNO di PRN Melaka sudah pastinya akan mendorong sikap hipokrit sesetengah pemimpin UMNO berpendapat UMNO sudah kembali berkuasa dan tidak memerlukan kerjasama dengan siapa-siapa apatah lagi pencapaian PN yang langsung tidak menonjol di Melaka.
 
Model politik Melaka tidak boleh ‘disalin dan ditempel” (“copy and paste”) di mana-mana negeri lain baik Selangor, Pulau Pinang atapah lagi Sarawak dan sebagainya.
 
Bagi golongan ini harus sedar senario dan model politik adalah berbeza sama sekali dengan Sabah. Sejarah pilihan raya di Melaka menunjukkan dari awal pembentukan Persekutuan Malaysia adalah dikuasai oleh BN kecuali pada PRU14 (2018). Menariknya sebenarnya bermula dari pilihan raya pertama di Melaka pada 1959 BN secara konsisten memperolehi lebih dua per tiga jumlah kerusi yang dipertandingkan di Melaka.
 
Hal ini belum mengambilkira siapakah yang mengetuai jentera pilihan raya BN di Melaka baru-baru ini dan keputusan BN untuk kembali kepada model BN yang berjaya terpilih menjadi kerajaan selama 55 tahun. Hasilnya MCA dan MIC turut masing-masing memperolehi dua dan satu kerusi.
 
Tidak mustahil akan ada puak yang ingin mengagalkan kerjasama GRS menggunakan alasan pencapaian dua kerusi PN di Melaka sebagai pengukur untuk menolak kerjasama UMNO dengan PPBM. Namun begitu, mereka perlu melihat dari gambaran yang lebih besar.
 
Secara realitinya apakah keperluan atau kepentingan mendaftarkan GRS yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sejurus selepas penamaan calon pada PRN Sabah 2020?
 
Sejurus selepas keputusan PRN Sabah dimuktamadkan kedengaran suara-suara Warisan plus yang memenangi pilihan raya kerana GRS bukannya sebuah perikatan politik yang berdaftar secara rasmi.
 
Ketika pergolakan politik di antara UMNO dengan PPBM di Semenanjung nampak tegang, pemimpin-pemimpin UMNO dan PPBM yang terhimpit diselamatkan oleh GRS sebagai platform politik Sabah.
 
Sebarang usaha untuk mengoncang GRS juga bermakna akan menimbulkan ketidakstabilan politik dan ekonomi kepada Sabah kerana usaha untuk membentuk kerajaan baharu perlu dilakukan. Rakyat baru nampak cahaya di hujung terowong setelah melalui suatu tempoh getir hampir dua tahun disebabkan oleh pandemik Covid19.
 
Sepertimana menurut pandangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, pendaftaran GRS merupakan langkah pertama ke arah gabungan GRS memiliki struktur formal.
 
Lebih penting sebagaimana diluahkan oleh Datuk Joniston, langkah memformalkan GRS mampu mengelak pertembungan sesama parti komponen.  
 
Apakah aspek-aspek yang harus diambilkira dalam penilaian kewajaran GRS didaftarkan? Rakan sekutu atau kerjasama politik misalannya STAR merupakan sebahagian daripada parti komponen PN, UMNO pula juga sudah terikat dengan perikatan BN, dan keputusan PBS untuk menyokong calon PPBM sebagai Ketua Menteri Sabah September tahun lalu.
 
Sudah pastinya banyak lagi faktor yang perlu diambilkira tetapi apa yang perlu dipertimbangkan adalah sebuah acuan politik untuk konteks Sabah.
 
Pertemuan dan perbincangan secara informal hasrat mendaftarkan GRS dengan RoS dalam kalangan pemimpin-pemimpin GRS sudah pastinya ada tetapi untuk mengadakan perbincangkan secara formal perlu menunggu selesai dua acara penting iaitu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di mana Bajet 2022 akan dibentangkan dengan disusuli perbahasannya dari 6 – 9 Disember dan Pilihan Raya Sarawak pada 18 Disember 2021.
 
Sebaik selesai sidang DUN di Sabah sudah pastinya ada pemimpin-pemimpin dari Sabah juga ingin berkunjung ke Sarawak membantu rakan-rakan dari ‘pasukan sahabat’ mereka sambil (menyelam minum air) sebagai lawatan sambil belajar kesesuaian model GPS untuk Sabah.
 
Tidak lupa juga kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya, Semporna yang perlu diadakan dalam masa terdekat ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles