TUARAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) telah mengadakan program Retreat KPLBS Tahun 2021, di Kiulu Rainforest Park (KRP), dekat sini pada Selasa.
Program yang diadakan selama dua hari bermula Selasa, dan berakhir hari ini, disertai para pegawai kanan dan kakitangan KPLBS, termasuk kakitangan di Pejabat Menteri.
Seramai 40 orang kakitangan terlibat di dalam retreat berkenaan.
Antara pengisian yang dijalankan sepanjang program ialah sesi percambahan minda bertajuk “Pencapaian Program Tahun 2021 dan Perancangan Program/Takwim Tahun 2022”.
Seterusnya diadakan sesi pembentangan hasil perbincangan daripada setiap Bahagian (Seksyen) KPLBS.
Manakala pada penghujung program, sesi rumusan turut dibuat oleh Timbalan Setiausaha Tetap 1, Aftar Nurajat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, dan Pembantu Menteri, YB Harun Durabi dan YB Samad Jambri, turut mengambil bahagian dalam sesi pembentangan tersebut.
Tiga pemimpin berkenaan juga berpeluang memberikan pandangan dan mendengar cadangan-cadangan penambah baikan program di kesemua jabatan, oleh ketua-ketua jabatan.
Menurut Jahid, program seperti itu sangat baik, kerana selain dapat saling bertukar-tukar pandangan demi kebaikan jabatan masing-masing, mereka dapat menenangkan fikiran daripada kesibukan kota dan suasana pejabat.
Sementara itu, Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Faimin Kamin, melahirkan rasa gembira kerana akhirnya program yang sekian lama dirancang itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Hari terakhir menyaksikan aktiviti riadah mendaki bukit, dan berpeluang menikmati keindahan pemandangan dari puncak Bukit Logkou KRP.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap 1, Aftar Nurajat, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar dan Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging.