TAMPARULI: Pertubuhan koperasi disaran memanfaatkan teknologi digital sebagai trend terkini bagi mengembangkan sesuatu jenis perniagaan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, pihak koperasi harus benar-benar memanfaatkan penggunaaan media sosial sebagai kaedah moden bagi mempromosi sesuatu produk selain dijadikan alat perhubungan yang berkesan dalam kalangan ahli.
“Dengan aktif memanfaatkan media sosial dan teknologi digital di internet dalam aspek promosi dan komunikasi, saya yakin koperasi akan lebih berkembang pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Koperasi Pembangunan Desa Saradan Tenghilan Berhad (KOPDESA), di Dewan Keturunan Keluarga Damit (KKD) Tenghilan, pada Isnin.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Sabah, Matias Kundapin, Pengerusi KOPDESA, Irelene Damit, dan Penolong Pegawai Pembangunan Daerah (ADDO) Tamparuli, Jefferson Jonathan.
Katanya, koperasi merupakan satu jentera yang boleh memaksimakan potensi sesebuah kumpulan, sekiranya mereka mengikut garis panduan dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Para ahli turut diingatkan agar sentiasa menjaga hubungan silaturrahim dan kerjasama sesama mereka, dan memastikan setiap pengurusan koperasi dibuat secara telus, demi kejayaan koperasi tersebut.
“Saya ingin lihat lebih banyak koperasi yang berjaya di kawasan Tamparuli, kerana selain bagi menjana pendapatan ahli, ia juga mampu memberi peluang pekerjaan, serta memacu ekonomi dan pendapatan harian penduduk,” katanya.
Pada majlis tersebut, beliau turut meluluskan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada tabung koperasi bagi membiayai pengurusan KOPDESA.
Terdahulu, Pengerusi KOPDESA, Irelene Damit, berkata, setakat hari ini, jumlah keahlian KOPDESA telah mencecah seramai 159 orang, dengan jumlah syer terkini sebanyak RM49,800.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Sabah, Matias Kundapin, mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak KOPDESA kerana telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) seperti yang termaktub di dalam perlembagaan koperasi.
Sepanjang program, Jahid turut berpeluang melawat ke ruang pameran dan jualan ahli-ahli KOPDESA, terdiri daripada produk makanan tempatan Sabah.