PRN Melaka: BN menang 21 kerusi, lima PH dan PN dua – Pengerusi SPR

MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Sabtu.
Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh yang mengumumkan keputusan pilihan raya itu berkata Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi, dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Beliau juga berkata sejumlah 326,068 atau 65.85 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka dalam proses pengundian, yang berjalan hari ini.
“Jumlah tersebut meliputi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos,” katanya pada sidang media di sini malam Sabtu.
Dalam pada itu beliau berkata proses pengundian berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan perjalanan PRN Melaka kali ini.
PRN Melaka diadakan hari ini (20 Nov) ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lalu, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
— BERNAMA

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles