KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan memberitahu bahawa kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada semua rakyat, termasuk bagi menyelesaikan segala permasalahan yang timbul berkaitan tanah dan hak rakyat.
“Berkaitan masalah tanah di Kuala Pintasan yang dipertikaikan, untuk pengetahuan semua pihak, tanah tersebut merupakan tanah yang mempunyai geran dan geran itu telah dikeluarkan dan didaftarkan sejak 19 Mac 1991.
“Tujuan geran tanah tersebut adalah untuk mewujudkan ekosistem bagi tujuan pembangunan akuakultur yang mana pada asalnya tanah geran itu dikeluarkan atas nama Aquabio (Sabah) SB dan kemudiannya dibeli oleh syarikat QL Aquamarine pada tahun 2015,” katanya.
Fairuz berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beberapa hari lalu, sebuah portal berita telah melaporkan tentang masalah pemilikan tanah tersebut yang mana terdapat bantahan dan perhimpunan oleh kumpulan individu yang menggesa Tuan Yang DiPertua dan Ketua Menteri untuk menyelesaikan masalah itu.
“Tidak ada isu seperti mana yang dinyatakan oleh mereka kerana pertemuan sudah dibuat beberapa kali dengan wakil kumpulan yang membuat perhimpunan itu, namun mungkin terdapat masalah atau pertindihan maklumat yang tidak sampai kepada mereka dan mereka menganggap bahawa mereka adalah pemilik tanah tersebut.
“Untuk pengetahuan juga, kelmarin (15 Nov 2021) pihak saya yang mana melibatkan Pegawai Daerah Kota Belud iaitu Puan Dayanah Abdullah sudah bertemu dan bermesyuarat dengan wakil kumpulan perhimpunan dan telah mencapai kata putus bahawa tidak aka nada halangan bagi mereka untuk mengambil tindakan bantahan kepada projek tersebut, namun ia mesti dibuat berlandaskan kepada undang-undang.
“Puan Pegawai Daerah juga turut menasihatkan mereka agar jangan mengadakan perhimpunan seperti yang telah diadakan itu kerana ia mampu membawa kepada persepsi negatif pihak luar kepada penduduk di Kota Belud khasnya kerana keadaan semasa seperti sekarang adalah amat memerlukan kerjasama semua pihak untuk sama-sama memulihkan kembali ekonomi dan syukur kerana nampaknya usaha perbincangan itu membawa hasil yang positif,” tambahnya lagi.