KOTA KINABALU: Ratusan penghuni di University Condo Apartment (UCA) 2, di Menggatal mengadu “sengsara” susulan masalah bekalan air paip di kediaman mereka yang sering putus sejak beberapa bulan yang lepas.
Rata-rata mereka, terutama penghuni yang tinggal di tingkat atas mengeluh kerana walaupun air kini telah dibekalkan secara catuan, namun ia bukanlah penyelesaian yang diperlukan ketika ini kerana masih tidak mencukupi selain terpaksa berulang alik “mengangkat air” dari tingkat bawah ke tingkat atas.
Penghuni Aisyah Ahmad, 28, mengakui catuan air ke kawasan perumahan itu dilaksanakan sejak beberapa bulan yang lepas.
Bagaimanapun, katanya, keadaan semakin teruk kebelangkangan ini dan ada kalanya “air tak masuk langsung ke rumah walaupun setitik”.
“Apa yang menyusahkan ialah penghuni tingkat atas terpaksa mengangkat air yang dibekalkan oleh lori tangki air.
“Jiran-jiran dah buat aduan bersilih ganti kepada pihak yang berkenaan namun keadaan tetap sama.
“Akhirnya kami ambil ikhtiar untuk berkongsi di media sosial derita yang kami hadapi dengan harapan tindakan segera dapat diambil demi kebaikan semua penghuni UCA 2,” katanya.
Aisyah berharap Menteri Kerja Raya Sabah dapat membantu menangani
masalah air yang dihadapi penghuni UCA 2.