KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah menyambut baik pengumuman Ketua Menteri Sabah untuk memberi kebenaran kepada Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) untuk memberi pinjaman kepada penjawat awam Sabah.
Presidennya, David Chan berkata sudah tiba masanya kakitangan kerajaan yang melibatkan kumpulan B40 memiliki rumah mampu milik.
Ketika ini banyak rumah yang dibina agak mahal dan menyukarkan penjawat awam untuk memiliki rumah sendiri. Rumah merupakan keperluan asas yang sangat penting dalam kehidupan kita hari ini.
Katanya ketiadaan kediaman yang selesa pasti menjejaskan kehidupan dan kualiti perkhidmatan.
“Persatuan Pengguna Bijak Sabah tahu bahawa kerajaan GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji sentiasa mengambil berat tentang keperluan rakyat terhadap rumah yang selesa dan mampu milik.
“Perumahan yang dibina perlu memberi keutamaan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) kerana mereka tidak mampu untuk meminjam dan membeli rumah, katanya.
Jelasnya pinjaman ini juga dapat menggalakkan kakitangan kerajaan meningkatkan kualiti kerja sekali gus menyumbang kepada pencapaian cemerlang kualiti perkhidmatan awam di negara ini.
Beliau juga berharap sektor kewangan swasta dan bank memudahkan kelulusan pembiayaan melibatkan penjawat awam B40 termasuk melanjutkan skim pembayaran mudah dan sebagainya.
Beliau berkata demikian semasa mengulas pembentangan Bajet 2022 di sini hari ini.
David turut mengalu-alukan pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz Jumaat (29 Oktober 2021) yang mengumumkan peruntukan RM1.5 bilion untuk meneruskan projek perumahan untuk golongan berpendapatan rendah.
Katanya peruntukan RM2 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi membantu mereka yang tiada pendapatan tetap membeli rumah juga merupakan berita gembira bagi sesetengah pihak yang tertekan dengan syarat yang dikenakan syarikat kewangan.
“Bantuan kerajaan disalurkan melalui persatuan dan mereka yang berdaftar tidak akan ketinggalan menerima bantuan ini mengikut syarat yang ditetapkan.
“Melalui bantuan ini, beban peniaga kecil dapat diringankan, katanya. Pembentangan Bajet 2022 turut mengumumkan Skim Pembiayaan Tidak Formal dan Mikro di bawah Tekun Nasional (Tekun) yang akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah 0 peratus serta moratorium selama 12 bulan dengan keutamaan kepada peniaga sektor tidak formal dan mikro, katanya.
Tambah beliau Bajet 2022 semua keluarga Malaysia sama ada warganegara dan peniaga terutamanya yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 akan mendapat manfaat melalui bajet tersebut.
Jelasnya Bajet 2022 disifatkan sebagai mesra wanita dan keluarga kerana ia menyediakan pelbagai inisiatif menarik, termasuk mengiktiraf peranan kumpulan dalam proses membuat keputusan dan mengukuhkan kepimpinan dan keberkesanan lembaga pengarah.
“Cadangan untuk mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita untuk semua syarikat senaraian awam yang dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 adalah satu lagi pengiktirafan terhadap keupayaan wanita, ujarnya,
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu melibatkan pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion yang akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti Tekun, Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia.
“Penurunan kes Covid-19 baru-baru ini juga merupakan masa terbaik untuk memulihkan ekonomi rakyat melalui aktiviti awam seperti melancong, membeli-belah, bersosial dan bersukan.
“Yang paling dinantikan sudah tentu bantuan segera kepada golongan yang paling terjejas seperti kehilangan pekerjaan, penjaja, peniaga kecil dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Mereka yang kehilangan pekerjaan tentunya berharap dapat bekerja semula sama ada di syarikat yang sama atau menceburi bidang baharu,” kata beliau.