KOTA KINABALU: Melihat semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan masyarakat sebagai salah satu elemen dalam usaha negara keluar dari krisis Pandemik COVID-19 pada masa ini, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif untuk mengadakan sambutan bulan kebangsaan secara norma baharu.
Menurut Ketua Pentadbiran FKJ, Azmi Jumat yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa penganjur, objektif penganjuran sambutan peringkat FKJ itu adalah bagi memupuk dan menyemarakkan semangat patriotisme di dalam jiwa warga FKJ dan UMS khususnya dan masyarakat secara amnya.
“Selain itu juga, sambutan ini juga adalah sebagai platform untuk para kakitangan menggunakan kreativiti mereka semasa menyertai aktiviti yang dianjurkan sempena sambutan ini,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang sambutan bulan kebangsaan beberapa aktiviti pertandingan telah disediakan antaranya Nyanyian Lagu Patriotik, Sketsa Video Pendek / Tik Tok dan Gambar Memperagakan Busana atau Pakaian Kebangsaan.
Video dan gambar peserta katanya turut dimuat naik ke dalam Facebook rasmi FKJ untuk tujuan penilaian, dan peserta yang mendapat tanda suka terbanyak dikira sebagai pemenang.
“Selain itu, turut diadakan Sesi Perkongsian Ilmu: Pengisian Kemerdekaan dan Agenda Pembangunan Sosio-Ekonomi Negeri Sabah yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr. Ramli Dollah, serta persembahan deklamasi sajak oleh pelajar Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam, Ekin Arot,” kata Azmi.
Dalam pada itu, Dekan FKJ, Prof. Madya Ts. Dr. Ismail Saad ketika berucap pada majlis kemuncak sambutan secara maya berkata, rakyat di negara ini haruslah menikmati kemerdekaan yang dikecapi sekarang di dalam keadaan harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan sekali gus mewujudkan perpaduan kaum.
Katanya, perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya.
“Oleh itu, semangat perpaduan perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri semua agar kemerdekaan dapat dipertahankan sampai bila- bila walaupun jasad, nyawa serta maruah menjadi taruhan.
“Tema sambutan hari kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin juga selari dengan usaha fakulti yang menitik beratkan kebajikan warganya dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kehidupan normal masyarakat.
“Penggiliran Jadual Bertugas, Penyediaan keperluan dan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada kakitangan dan pelajar merupakan usaha FKJ dalam memerangi pandemic ini seterusnya mengutamakan kesejahteraan warganya,” ujar Ismail.
Hadir sama pada majlis yang berlangsung secara maya melalui platrorm Cisco Webex Timbalan-Timbalan Dekan dan Ketua-Ketua Program di FKJ UMS.
*PENERANGAN GAMBAR:*
FKJ 1: Antara yang hadir majlis kemuncak sambutan bulan kebangsaan peringkat FKJ UMS secara atas talian melalui platform Cisco Webex
FKJ 2: Kakitangan FKJ, Victoria Asoi pemenang Pertandingan Sketsa Video Pendek / Tik Tok