KOTA KINABALU: Sabah buat pertama kalinya sejak 4 Ogos lepas mencatatkan penurunan jumlah kes harian Covid-19 dibawah paras angka seribu iaitu 962.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata jumlah kes Covid-19 hari ini menurun sebanyak 311 kes berbanding semalam.
“Secara keseluruhan, terdapat penurunan jumlah kes yang agak besar di beberapa Daerah walaupun ada penambahan kes dibeberapa Daerah lain.
“Hari ini juga tidak ada Daerah yg mencatat jumlah kes tiga angka seperti sebelum ini,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Masidi berkata penurunan kes itu merupakan satu petanda baik untuk Sabah.
“Pada peringkat ini, masih terlalu awal untuk meramalkan samada trend penurunan ini akan berterusan,” katanya.
Menurutnya Kota Kinabalu merekodkan 91 kes hari ini, satu penurunan signifikan sebanyak -112 kes. Lahad Datu turun -45 kes, Kota Marudu -33 kes, Keningau -20 kes, Penampang -18 kes, Beluran -40 kes, Telupid -24 kes dan Tongod -31 kes.
Katanya antara daerah yang mencatatkan peningkatan ialah Tawau +21 kes, Putatan +17 kes, Kalabakan +16 dan Tuaran +10 kes.
“Daripada 962 kes yang didaftar hari ini, (361) kes atau 37.53% adalah kes-kes lewat daftar antara 2 hingga 3 hari, (47) kes atau 4.89% adalah lewat daftar 4 hingga 5 hari dan (7) kes adalah kes yang berdaftar lewat melebihi 5 hari selepas keputusan saringan diketahui.
“Saringan Kontak Rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan (492) kes atau 51.1%, Saringan Bergejala (368) kes atau 38.3%, (6) kes atau 0.6% daripada Saringan Kluster, (0) kes dari Saringan Bersasar dan (96) kes atau 10.0% melalui Saringan Lain-lain,” katanya.