Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan usaha Sabah FC mendapatkan khidmat bekas jurulatih skuad kebangsaan B23 negara, Datuk Ong Kim Swee menjadi ketua jurulatih baharunya sebagai langkah serius untuk mengangkat sukan bolasepak di Sabah ke tahap yang lebih baik.
Katanya, SAFA sebagai badan induk bolasepak di Sabah sangat mengalu-alukan usaha yang diambil kelab tersebut.
“Kita yakin kehadiran Kim Swee mampu untuk membentuk satu pasukan yang setanding dengan pasukan-pasukan lain di negara ini,” katanya sebagai mengulas tindakan Sabah FC menggunakan khidmat jurulatih itu sebagai ketua jurulatih baharunya.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima peletakan jawatan Kim Swee sebagai Pengarah Teknikalnya semalam dan akan memulakan tugas baharu sebagai ketua jurulatih Sabah FC berkuatkuasa 1 Oktober ini.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kim Swee atas khidmatnya bersama FAM dan berharap dia berjaya dengan karier baharu dengan Sabah FC.
Kim Swee juga mengadakan perjumpaan dengan Bung Moktar di Kuala Lumpur hari ini susulan penerimaan tugas baharunya dengan Sabah FC.
Minggu lepas, Pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir mengumumkan keputusan kelab itu untuk merehatkan ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berikutan prestasi merudum pasukan dalam saingan Liga Super.
Penolong jurulatih, Burhan Ajui telah dilantik sebagai pengendali sementara pasukan selain melantik jurulatih Jelius Ating sebagai penolong pengurus pasukan.
Menurut Bung Moktar, sebagai badan induk bolasepak di Sabah, SAFA bertanggungjawab untuk memantau prestasi Sabah FC agar ia tidak tersasar dari matlamat untuk meningkatkan mutu bolasepak di negeri ini.
“Peminat bolasepak mengharapkan Sabah FC sentiasa menunjukkan pencapaian yang baik dan pada masa yang sama, SAFA juga sejak dari awal penubuhan kelab profesional ini mahu ia terus cemerlang dalam sukan ini,” tegasnya.
Presiden SAFA itu yakin bahawa Sabah FC mampu mengembalikan kegemilangan bolasepak di Sabah seperti yang pernah dikecapi sebelum ini.