KOTA KINABALU: Bekas Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun menzahirkan harapan agar kerajaan Persekutuan kali ini benar-benar serius memperkenalkan Undang-Undang Anti-Lompat Parti di negara ini.
Beliau berkata ini kerana rang undang-undang yang sama telah dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah dahulu dan kemudiannya diluluskan.
Bagaimanapun, Mositun berkata undang-undang anti lompat parti yang diperkenalkan semasa pemerintahaan PBS di Sabah itu telah dicabar di Mahkamah dan kemudiannya diputuskan tidak sah kerana bertentangan peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Inilah perjuangan PBS dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku Presiden dahulu.. sudah menjadi kenyataan bahawa perlunya anti lompat untuk menstabilkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat,” katanya kepada Jesselton Times.
Mositun berkata amalan melompat parti merupakan budaya yang tidak sihat dan boleh menghuru-harakan keadaan politik negara atau negeri khususnya kerajaan yang dipilih rakyat.
Beliau juga berharap blok pembangkang akan menyokong penuh rang Undang-Undang Anti Lompat Parti apabila dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata bahawa
Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen selepas Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dan komited untuk melaksanakan transformasi dalam pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata, trasformasi tersebut dibuat untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Selain itu kata beliau, Undi18 dalam tempoh terdekat juga akan dilaksanakan dan satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.