KOTA KINABALU: Tiga puluh lapan keluarga yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Kg Kopungit menerima bakul makanan yang disumbangkan Ketua Menteri Sabah yang diwakili Srikandi Bersatu Sabah dan Armada Bersatu Sabah.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Armada Bersatu Sabah, Fairuz Rendan dalam majlis ringkas di Dewan Kopungit, Kepayan Kota Kinabalu semalam.
Fairuz yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri memberitahu selain sumbangan kepada keluarga terlibat, pihaknya turut menyerahkan bantuan serupa kepada hampir 500 penduduk di kampung berkenaan.
“Kami memberi 500 bakul makanan bukan sahaja kepada mangsa terjejas tapi untuk semua..kami juga ada memberi sedikit bantuan kepada mangsa yang betul-betul terjejas itu selain daripada bakul makanan tetapi kita juga beri barang2 keperluan saya difahamkan ada yang baru melahirkan dan ada baby kecil so kita sediakan keperluan untuk baby” katanya.
Dalam pada itu katanya sehingga kini Armada Sabah telah berjaya memberikan lebih 5 ribu bakul makanan kepada golongan sasaran di seluruh negeri.
Kejadian tanah runtuh di Kampung Kopungit Sabtu lalu menyebabkan stor penyimpanan ubat-ubatan milik kementerian Kesihatan tertimbus tanah.
Tertimbus sama, 6 buah kenderaan dan dua buah motosikal milik orang awam serta kakitangan kementerian kesihatan.
Demi keselamatan, penduduk berhampiran diarah mengosongkan rumah serta-merta bagi mengelak kejadian berulang.
Bantuan itu diberikan bagi meringankan beban penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID19.
Turut sama semasa acara penyerahan bantuan tersebut ialah Naib Ketua Srikandi BERSATU Negeri Sabah Datuk Amisah Yassin dan Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Negeri Sabah Datuk Redonah Bahanda.