KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mempertahankan keputusan parti itu menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata ini kerana kesemua anggota Parlimen PH telah menyokong usul pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa ia dibentangkan di Dewan Rakyat tiga tahun yang lepas.
“Malangnya beberapa parti termasuk PAS tidak menyokong cadangan itu.
“Yang anehnya parti-parti politik seperti PBS dan STAR kini berkawan dengan PAS yang menggagalkan usul pindaan tersebut.
“Bagi UPKO, sokongan PH itu memenuhi aspirasi perjuangan parti, khususnya yang berkaitan MA63,” katanya.
Ewon yang juga merupakan ADUN Kadamaian menyatakan demikian dalam webinar Aspirasi UPKO Bersama Pakatan Harapan malam Rabu.
Beliau menambah bahawa keputusan UPKO menyertai Pakatan Harapan secara rasmi tidak akan menjejaskan kerjasama di kalangan blok pembangkang Sabah.
“Kerjasama ini bukan baharu. Sebaliknya sudah wujud sejak tahun 2018 selepas UPKO menubuhkan Kerajaan Negeri ketika itu bersama WARISAN dan PH yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri. Malah pada hari inipun, Datuk Shafie masih menjadi Ketua Pembangkang kita di DUN,” katanya.
Menurut Ewon, selaku blok pembangkang yang terdiri daripada parti berbilang kaum, agenda reform dan isu rakyat akan terus menjadi keutamaan.
“Blok pembangkang juga akan meneruskan kerjasama peranan semak dan imbang ke atas Kerajaan GRS. Manakala setiap sidang DUN, kita akan membangkitkan isu-isu rakyat dan mengemukakan usul-usul penambahbaikan urustadbir kerajaan serta hak-hak autonomi Sabah,” katanya.
Mengenai cadangan mewujudkan blok parti Sabah dan Sarawak, Ewon berkata ia merupakan satu cadangan yang sangat idealistik tetapi mengambil masa yang lama untuk menjadi realiti.
Menurut beliau, realiti politik hari ini berdasarkan kepada sejarah di Parlimen dan kedua-dua negeri dalam tempoh beberapa tahun ini tidak memungkinkan cadangan tersebut terlaksana kerana sentiasa ada perbezaan di antara kepimpinan Sabah dan Sarawak.
“Ianya satu mimpi yang sangat indah dan mungkin diimpikan oleh hampir semua rakyat Sabah dan Sarawak. Saya sendiripun mahukan mimpi ini jadi kenyataan. Tetapi realitinya, ia tidak akan terlaksana dalam beberapa tahun ini, ianya akan ambil masa yang lama untuk terlaksana,” katanya.
Ewon berkata anggota Parlimen Sabah dan Sarawak mempunyai peluang “keemasan” pada tahun 2019 untuk menunjukkan “kesatuan” blok kedua-dua negeri semasa usul pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan dibentangkan di Parlimen.
“Usul pindaan Perkara 1 (2) dibentangkan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai equal partners (setara) dengan Persekutuan Tanah Melayu atau dikenali kini sebagai Semenanjung Malaysia, bukannya sebagai dua daripada 13 negeri yang disebut dalam perkara itu hari ini. Pindaan itu sepatutnya mengembalikan kandungan asal sepertimana pada tahun 1963.
“Namun kesemua Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ahli Parlimen UMNO Sabah tidak menyokong usul tersebut,” katanya.