KOTA KINABALU: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyampaikan ucapan tahniah kepada barisan Kabinet Kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua lantikan Kabinet baru dan selamat bekerja.
“Sungguhpun saya mempunyai pandangan sendiri, ianya hak Perdana Menteri yang wajar kita hormati,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata tumpuan kabinet sekarang ialah
bekerja dan memberi perhatian kepada usaha mengatasi krisis utama COVID-19.
“Apabila keadaan stabil, kita serahkan kembali mandat pilihan kepada Rakyat,” katanya.
Sebelum itu, Ismail Sabri mengumumkan pembentukan barisan kabinet baru selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Barisan Kabinet baru ini dijadual akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin depan.
Ismail ketika mengumumkan senarai berkenaan berkata, tugas utama kabinet yang dibentuk hari ini adalah untuk menangani Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.