KOTA KINABALU: Kata orang — politik adalah permainan keberangkalian — tidak ada yang mustahil.
Tidak ada juga yang menyangka parti berbilang kaum – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kini berada di bawah “payung besar” Pakatan Harapan (PH).
Penyertaan UPKO sebagai parti komponen PH diumumkan oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Nasution Ismail di Kuala Lumpur pada Khamis.
Pengumuman itu dibuat di kala blok pembangkang “terkapai-kapai mencari ramuan” menyatukan semua parti pembangkang sebagai satu pasukan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Pemerhati politik berpendapat keputusan Majlis Presiden PH menerima UPKO itu bakal menyuntik semangat kepada parti berpangkalan di Sabah tersebut.
Mereka berkata langkah taktikal itu dijangka boleh merubah nasib parti itu terutama dengan adanya sokongan parti-parti komponen PH yang lain.
Selain UPKO yang kini diterajui Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, tiga parti lain yang membentuk PH ialah PKR, Amanah dan DAP.
Penganalisa politik Mohd Ustar Abdul Ghani berkata senario politik negara telah banyak berubah yang kini mula memperlihatkan ciri-ciri sistem dua parti – parti pemerintah/blok pembangkang.
“Dalam hal ini, saya melihat langkah yang diambil oleh UPKO adalah tepat dan berpandangan jauh.
“Ini kerana berjuang bersama parti-parti pembangkang yang lain adalah lebih baik berbanding bergerak secara “in silos” atau solo,” katanya.
Dalam sistem pemerintahan federalisme, Ustar berkata ‘berkawan atau bergabung’ dengan parti-parti ‘Malaya’ bukan lagi menjadi isu politik.
“Contohnya parti STAR dan PBS ‘berkawan’ dengan PAS bersama-bersama membentuk kerajaan Persekutuan tetapi masih diterima oleh rakyat khususnya di Sabah. Ini terbukti semasa pilihan raya negeri Sabah tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata dengan penyertaan parti itu ke gabungan PH, UPKO berkemungkinan dibolehkan menggunakan lambang atau logo Harapan pada PRU-15, sekali gus memberi nafas baharu terutama dalam konteks survival politik parti itu.
“Soal menang kalah dalam pilihan raya…itu adat pertandingan tetapi apa yang penting saya lihat UPKO telah menyusun strategi dengan baik untuk bangkit semula dalam arena politik,” katanya.
Setiausaha Agung UPK0, Nelson Wences Angang pula menggariskan beberapa justifikasi penyertaan UPKO ke dalam PH.
Katanya parti itu menyambut baik pendekatan ‘payung besar’ PH yang berhasrat mewujudkan blok pembangkang yang mantap dan program paska Covid-19 yang lebih baik.
“UPKO menyertai PH bagi memastikan aspirasi parti yang mahu melihat pembentukan federalisasi yang mendukung konsep berbilang, progresif dan terdesentralisasi dapat direalisasikan,” katanya.
Nelson berkata UPKO telah dijenamakan semula pada tahun 2019 bagi mendukung dan mempromosi politik berbilang bangsa dan perjuangan parti tertumpu kepada memberi khidmat kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan etnik.
“UPKO juga diberi jaminan akan diberi layanan rakan setara dan kami akan membawa idea pembaharuan dalam perspectif borneo,” katanya.
Beliau berkata UPKO juga berwawasan untuk memastikan suara dan pandangan rakyat Sabah dapat didengar di peringkat pembuat keputusan.
“Pakatan Harapan adalah gabungan parti yang progresif serta menghormati, memahami dan berkongsi aspirasi berhubung perjuangan berterusan UPKO mempertahankan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.